Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 44, terpaksa memendam hasrat melawat sekolah kanak-kanak, Afwa Al-Afiyah di Gaza, Palestin yang dibangunkannya menerusi Yayasan Nurjiwa sejak dua tahun lalu atas faktor keselamatan.
Siti berkata, perancangan rapi perlu dilakukan jika meneruskan hasrat ke Gaza memandangkan lokasi berisiko tinggi dan masih bergolak.
“Masuk ke wilayah Gaza sangat berisiko. Kita kena ikut prosedur perjalanan yang sah.
“Tak bolehlah nak main seludup-seludup dan perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu memandangkan lokasi adalah kawasan peperangan.
“Namun, keadaan tidak mengizinkan untuk Siti berbuat demikian,” katanya kepada BH Online.

Dalam perkembangan berkaitan, penyanyi Aku Bidadari Syurgamu ini turut meluahkan rasa teruja ketika berkongsi perkembangan sekolah mula beroperasi sejak Oktober 2021.
“Saya selalu mendapat video wakil di sana untuk berkongsi perkembangan sekolah.
“Sekarang, kami sudah mempunyai lebih 50 pelajar. Sebelum ini, kami hanya menyediakan makanan untuk pelajar pada hari tertentu, tetapi sekarang setiap hari.
“Pelajar juga sudah ada pakaian seragam. Untuk anak-anak yatim piatu, kita berikan mereka pendidikan percuma.
“Alhamdulillah, sekolah ini semakin berkembang termasuk fasiliti penting seperti buku dan bahan bacaan. Mungkin kami akan membina lebih banyak kelas untuk meramaikan kemasukan jumlah pelajar, insya-Allah,” ujar Siti. – Agensi