Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Dayang Siti Nurfahimah binti Awang Affendy dari Sekolah St Angela, Seria muncul sebagai pemenang pertama setelah mendapat markah sebanyak 97 peratus dalam Peraduan Menulis Surat Kiriman bagi Kanak-kanak berumur antara sembilan hingga 15 tahun.
Penyampaian hadiah bagi para pemenang peraduan berkenaan disempurnakan oleh Jabatan Perkhidmatan Pos, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi di mana peraduan adalah bersempena Sambutan Hari Pos Sedunia ke-146 dengan peraduan dihakimi dengan kerjasama daripada pihak Jabatan Kurikulum, Kementerian Pendidikan.
Selaku pemenang pertama, Dayang Siti Nurfahimah menerima wang tunai $500 berserta piala dan sijil penyertaan. Surat kiriman beliau juga mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Peraduan Surat Kiriman Antarabangsa yang dianjurkan oleh Universal Postal Union di Berne, Switzerland.
Sementara itu, tempat kedua pula telah dimenangi oleh tiga orang peserta iaitu Alliana Anak Ayub dari Sekolah St Angela, Liyau Yi Qing dari Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan (BSB) dan Ang Chin Gui juga dari Sekolah Menengah Chung Hwa, BSB.
Ketiga-tiga pemenang berkenaan telah berkongsi markah dengan mendapat 96 peratus dan telah menerima wang tunai $300, piala dan sijil penyertaan.
Pada tahun ini, penyampaian hadiah kepada para pemenang diadakan dengan
berkunjung ke sekolah-sekolah pemenang masing-masing yang disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pos Agung, Haji Mohamad Azlan bin Haji Mohammad Junaidi dan Pemangku Tmbalan Ketua Pos Agung, Awang Hamir bin Mohd Salleh.
Manakala itu, lima orang peserta telah menerima hadiah sagu hati dan masing-masing menerima hadiah wang sebanyak $50, piala dan sijil penyertaan.