Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza teruja dan sebak apabila melihat anak sulungnya iaitu Siti Aafiyah kini sudah memasuki alam persekolahan.
Menerusi akaun Instagram, Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin berkongsi momen anak perempuannya itu teruja bangun awal pagi untuk bersiap ke tadika.
Hampir mengalirkan air mata kerana terharu, Siti memberitahu Aafiyah terlalu seronok ketika dihantar ke sekolah hingga terlupa untuk mencium tangan kedua ibu bapanya.
“Alhamdulillah, hari ini hari pertama Aafiyah masuk tadika. Malam semalam Aafiyah tidur awal, bangun tadi ayah kejutkan, dia kata nak masuk sekolah dia tak cranky pun.
“Bersiap cantik dan siap bergaya lagi depan ayah dan ibu dengan baju sekolah. Semangat betul dia nak ke sekolah, Subhanallah.

“Sampai sekolah, depan pintu kelas dia terus masuk tidak tengok belakang dah. Ayah, ibu yang panggil minta salam. Ibu nak menangis tapi tahan sahaja,” tulisnya.
Dalam hantaran berkenaan, Siti turut berkongsi foto dia bersama suami, Datuk Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K dan Aafiyah yang memakai baju seragam tadika.
Rata-rata warganet memuji penampilan Aafiyah yang kelihatan kemas dan tidak menyangka puteri sulung penyanyi berusia 43 tahun itu sudah memasuki alam persekolahan.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Lip Lap Raya ini turut mendoakan agar dipermudahkan perjalanan anaknya menuntut ilmu.
“Semoga Allah SWT pelihara anak ibu dan Aafiyah menjadi hamba Allah yang terang hati, diberikan kelancaran dapat menuntut ilmu agama, dunia akhirat.
“Dan hamba yang memberi manfaat kepada insan lain. (Terima kasih Cikgu Na bantu Aafiyah),” katanya.
Untuk rekod, Siti Nurhaliza berkahwin dengan Datuk K pada 21 Ogos 2006 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Siti Aafiyah, 4, dan Muhammad Afwa yang berusia setahun. – Agensi