Situasi COVID-19 semakin pulih, M’sia sedia masuki fasa endemik

KUALA LUMPUR, 11 OKT – Situasi penularan COVID-19 yang semakin pulih dalam beberapa minggu kebelakangan ini membuktikan kesediaan Malaysia serta masyarakat untuk memasuki fasa endemik, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perkara itu dapat dilihat menerusi trend penurunan bagi purata kes harian, jumlah kluster dan kapasiti penggunaan hospital manakala peratusan kadar vaksinasi yang tinggi. 

Menurut Dr Noor Hisham secara keseluruhan, indikator utama termasuk kes harian, kes aktif, kematian, kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta nilai kebolehjangkitan atau R-Naught (Rt) mencatatkan penurunan secara konsisten sejak Minggu Epidemiologi (ME) ke-34 (22 hingga 28 Ogos 2021).

“Terdapat sebanyak 63,722 kes COVID-19 yang telah dilaporkan pada ME ke-40 (3 hingga 9 Okt) berbanding 83,368 kes yang dilaporkan pada ME ke-39 iaitu penurunan sebanyak 23.6 peratus. “Sebanyak 133,806 kes aktif dilaporkan pada ME ke-40 iaitu penurunan 21.0 peratus berbanding ME ke-39,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Selain penurunan nilai Rt sebanyak 0.2 peratus setiap hari, beliau berkata kes kematian merekodkan 700 kes dengan purata 100 kes sehari pada ME ke-40, iaitu penurunan 50.2 peratus berbanding ME ke-39. Beliau berkata sebanyak 778 kes yang memerlukan rawatan di ICU direkodkan pada ME ke-40 menyaksikan penurunan sembilan peratus berbanding ME ke-39 manakala 331 kes memerlukan bantuan pernafasan pada ME ke-40 juga menurun 11.2 peratus berbanding ME ke-39. Dr Noor Hisham berkata sebanyak 79 kluster dilaporkan pada ME ke-40 dan daripada jumlah itu, terdapat penurunan 21 kluster berbanding ME ke-39, iaitu penurunan sebanyak 21 peratus. – Bernama

Orang ramai mengmbil kesempatan berkunjung ke Pasar Besar Kedai Payang di Terengganu susulan kerajaan membenarkan individu yang lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis. Malaysia sudah bersedia memasuki fasa endemic dengan situasi penularan COVID-19 semakin pulih, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. –Bernama