Sunday, December 4, 2022
25.9 C
Brunei

-

Situasi dadah ASEAN dibincangkan

HANOI, Vietnam, 27 Julai – Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN Mengenai Dadah (ASOD) ke-38 yang diadakan di Hanoi, Vietnam bermula 25 hingga 27 Julai membincangkan situasi dadah dan cara-cara pencegahan penyalahgunaan dadah di negara-negara anggota ASEAN.

Delegasi negara ke mesyuarat itu diketuai oleh Pemangku Pengarah Biro Kawalan Narkotik (BKN), Haji Mohd Jaffari bin Awang Mahadi dan pegawai-pegawai BKN.

Mesyuarat dirasmikan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Awam Vietnam, Polis Senior Leftenan Jeneral Le QuyVuong yang turut berucap menekankan mengenai perpaduan ASEAN dalam mempromosikan kerjasama mengatasi cabaran dan menghulurkan sumbangan berkesan ke arah mewujudkan rantau yang aman, stabil dan makmur untuk Komuniti ASEAN.

Beliau turut menyatakan pencapaian signifikan mekanisme ASOD semenjak ditubuhkan 38 tahun lalu, antaranya mengeluarkan kenyataan bersama dalam kalangan negara ASEAN semasa sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai masalah dadah sedunia pada tahun lalu, sekali gus mencerminkan pendirian teguh ASEAN bagi reformasi dasar dadah.

Beliau turut menggalakkan agar negara-negara ahli mengukuhkan lagi kerjasama serantau dan menyumbang kepada ‘ASEAN Work Plan on Securing Communities Against Illicit Drugs 2016-2025’ bagi mengatasi cabaran dadah yang mengancam keselamatan dan keamanan Komuniti ASEAN. Beliau juga menyeru agar ASEAN meningkatkan kerjasama rakan dialog dan pihak-pihak luar bagi menangani ancaman dadah.

Haji Mohd Jaffari (enam kiri) bergambar ramai bersama ketua-ketua delegasi negara-negara ASEAN dan Timbalan Setiausaha Agung Sekretariat ASEAN.
Haji Mohd Jaffari (enam kiri) bergambar ramai bersama ketua-ketua delegasi negara-negara ASEAN dan Timbalan Setiausaha Agung Sekretariat ASEAN.
Haji Mohd Jaffari dan delegasi Brunei semasa menghadiri Mesyuarat ASOD ke-38.
Haji Mohd Jaffari dan delegasi Brunei semasa menghadiri Mesyuarat ASOD ke-38.

Pada mesyuarat itu, ahli-ahli ASOD telah meluluskan pelan kerjasama ASEAN untuk menangani penghasilan dan penyeludupan dadah haram di Segi tiga Emas.

Mesyuarat juga membincangkan lima perkara dalam lima sesi kumpulan kerja iaitu bidang pendidikan pencegahan dadah, rawatan dan pemulihan, penguatkuasaan undang-undang, penyelidikan dan pembangunan alternatif. Sesi kumpulan ini member peluang kepada negara-negara ahli berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dan menyelaraskan aktiviti yang dijalankan dalam kalangan pelan kerja ASEAN.

Pada mesyuarat itu juga, satu penerbitan kedua oleh Pusat Kerjasama Narkotik ASEAN (ASEAN-NARCO) bertajuk ‘ASEAN Drug Monitoring Report 2016’ dilancarkan. Penerbitan ini membentangkan laporan komprehensif mengenai situasi dadah di ASEAN bagi tahun 2016 dan inisiatif-inisiatif yang telah diambil oleh negara-negara ahli dalam strategi pengurangan bekalan dan permintaan dadah.

Di samping itu, Mesyuarat ASOD ke-38 ini juga telah diselajurkan dengan dialog berterusan dengan rakan Plus 3 termasuklah Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) +3 Kumpulan Kerja Mengenai Narkotik ke-12, Mesyuarat ASOD+Mesyuarat Penyelarasan China ke-4, Mesyuarat ASOD+Mesyuarat Penyelarasan Jepun ke-5, Mesyuarat ASOD+Mesyuarat Penyelarasan Republik Korea ke-6, Mesyuarat ASOD+Mesyuarat Penyelarasan India ke-2 dan Mesyuarat ASOD+Mesyuarat Penyelarasan Rusia kali pertama.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China longgarkan lagi peraturan COVID

BEIJING, 2 DIS – Bandar di seluruh China membatalkan arahan sekatan COVID hari ini dengan melonggarkan peraturan ujian dan kuarantin susulan protes di seluruh...
- Advertisment -