CARACAS, 31 Mac – Pasukan keselamatan Venezuela melepaskan tembakan gas pemedih mata semalam bagi menyuraikan para pembantah di Caracas, yang marah kerana terputusnya bekalan kuasa sehingga menyebabkan sebahagian besar negara itu bergelap sejak awal Mac.
Wartawan AFP di tempat kejadian berkata pasukan keselamatan menghalang pembantah daripada berhimpun di beberapa kawasan barat ibu negara.
Putusnya bekalan kuasa terbaharu adalah 7 malam waktu setempat, Jumaat lalu, menjejaskan Caracas dan sekurang-kurangnya 20 daripada 23 negeri Venezuela.
Keadaan itu telah menjejaskan Venezuela dengan teruk, memburukkan lagi ekonomi dan keadaan hidup yang sedia teruk di negara tersebut, yang menyaksikan perbalahan politik antara pemimpin berhaluan kiri kerajaan, Nicolas Maduro dan pemimpin pembangkang, Juan Guaido. Amerika Syarikat (AS) dan lebih daripada 50 buah negara lain mengiktiraf Guaido sebagai presiden sementara. Manakala, Rusia dan China masih menyokong Maduro.
Terputusnya bekalan kuasa bermula pada 7 Mac itu telah menjejaskan perkhidmatan air, pengangkutan, telefon dan Internet di seluruh negara.
“Lampu kami padam bila-bila masa, kami tidak mempunyai perkhidmatan Internet, perkhidmatan air sudah terjejas lebih daripada setahun, dengan masalah putus bekalan kuasa ini memburukkan lagi keadaan kami,” kata seorang pembantah di Caracas yang tidak mahu memberikan namanya. “Saya menolak untuk meninggalkan Venezuela, kerana saya tahu bahawa banyak yang perlu diperjuangkan di sini,” kata seorang lagi pembantah, Andrea. – AFP






























