Situasi koronavirus di Beijing terkawal

BEIJING, 24 JUN – Wabak koronavirus yang telah menjangkiti 256 orang di Beijing sejak awal bulan Jun adalah dalam keadaan ‘terkawal’, kata pegawai di ibu negara China hari ini, walaupun negara itu masih dilanda kebimbangan mengenai risiko penularan virus dalam komuniti.

Pihak berkuasa kini sedang giat berusaha untuk mengekang penularan wabak yang dikaitkan dengan pasar makanan borong terbesar di Beijing setelah kes pertama diumumkan pada 11 Jun, yang membawa kepada penutupan sebahagian bandar.

“Wabak Beijing yang berkaitan langsung dengan Xinfadi (pasar) pada dasarnya dalam keadaan terkawal, tetapi pada masa yang sama kami telah menemui jangkitan kluster baharu dan kes penularan dalam komuniti,” kata jurucakap kerajaan perbandaran Beijing, Xu Hejian semasa taklimat.

“Situasi pencegahan dan kawalan masih terkawal, bagaimanapun kami tetap mengetatkan kawalan kami.”

Para pegawai mendapati bahawa 253 dari 256 kes jangkitan baharu di Beijing dikaitkan dengan Xinfadi di selatan bandar, sementara siasatan untuk tiga lagi kes masih dijalankan.

Orang ramai menggunakan penutup mulut dan hidung ketika berbaris menunggu giliran bagi menjalani ujian pengambilan sampel bagi koronavirus di Jinrong, Beijing, kelmarin. – AFP

Bandar ini mengumumkan tujuh kes baharu hari ini, dengan kadar jangkitan dilaporkan perlahan sejak awal minggu ini.

“Ini memberikan isyarat yang sangat positif, dan membuktikan bahawa langkah pencegahan dan kawalan yang diambil akhir-akhir ini dan perintah lockdown berkesan,” kata Lei Haichao, ketua suruhanjaya kesihatan Beijing.

“Gabungan klinik flu, penemuan (kes) dari kontak terdekat, dan ujian asid nukleik telah memainkan peranan penting dalam pengesanan awal kontak.”

Bandar ini meningkatkan kapasiti ujian sampel asid nukleik hariannya kepada 300,000 daripada 100,000 sehari pada awal bulan Jun, kata Lei, sambil menambah bahawa 137 kes – lebih dari separuh – dikesan melalui pemeriksaan.

Setakat ini hampir tiga juta orang sudah diuji. – AFP