KUCHING, 27 MEI – Seluruh negeri Sarawak diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Sabtu ini hingga 11 Jun, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira situasi semasa COVID-19 yang semakin meruncing dan juga situasi fasiliti kesihatan yang kritikal serta varian yang membimbangkan (VOC) yang telah dikesan di Sarawak baru-baru ini.
“Kita perlu mengambil tindakan yang lebih drastik untuk mengawal jangkitan COVID-19 sekarang, sebelum kita berada di situasi yang lebih parah lagi,” katanya pada sidang media JPBN di sini hari ini. Menurutnya Sarawak telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) diperketatkan, namun kes harian masih meningkat dan sebahagian besar kluster baharu yang tercetus adalah berpunca daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lepas.
Hari ini Sarawak mencatatkan sejumlah 772 kes baru COVID-19 yang merupakan angka harian kedua tertinggi direkodkan sejak penularan pandemik itu,yang menjadikan jumlah keseluruhan 44,738 kes.
Uggah berkata jumlah kematian harian tertinggi negeri ini juga tercatat hari ini dengan sembilan kes direkodkan yang menjadikan angka korban akibat COVID-19 di Sarawak kini 272 orang. – Bernama