Thursday, April 18, 2024
28.5 C
Brunei

    -

    Siuknya ke Sekolah terima sambutan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Ke arah meningkatkan semangat dan minat murid-murid terhadap alam persekolahan setelah hampir lapan bulan mengikuti pembelajaran dalam talian, Program Siuknya ke Sekolah dilaksanakan di sekolah-sekolah rendah di negara ini seperti yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan bagi mengalu-alukan murid-murid.

    Pegawai Pendidikan Tingkat Khas yang juga Guru Besar Sekolah Rendah (SR) Anggerek Desa, Kluster 3, Dayang Mardiah binti Wahab ketika ditemu bual hari ini menyatakan bahawa murid-murid sekolah berkenaan memberi respons yang sangat menggalakkan terhadap program berkenaan.

    Beliau mengongsikan, pada hari pertama sesi pembelajaran secara bersemuka pada 14 Mei lalu, keterujaan murid-murid jelas terlihat apabila peratus kehadiran pada hari pertama yang tidak dijangka selain, ada juga murid-murid yang datang seawal pukul 6:15 pagi.

    “Bagi SR Anggerek Desa, Program Siuknya ke Sekolah ini diisi dengan pelbagai aktiviti interaksi bersama murid-murid seperti pertandingan mewarna, sesi soal jawab dan perkongsian pandangan murid mengenai sekolah.

    “Untuk memberi respons yang berkesan dalam kalangan murid, program ini juga telah dibahagikan kepada dua peringkat iaitu untuk peringkat rendah bawah bagi murid Tahun 1 hingga 3 manakala peringkat rendah atas bagi murid Tahun 4 hingga 6,” jelasnya lagi.

    Sebelum program berkenaan dilaksanakan, murid-murid juga diterangkan mengenai garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) semasa berada di dalam bilik darjah dan di sekolah melalui video yang disediakan di samping ditunjukkan cara mencuci tangan dengan betul.

    Selain itu, video pendek ‘Kenapa Perlu Datang Awal ke Sekolah?’ juga ditayangkan yang menunjukkan apa yang perlu disediakan untuk ke sekolah keesokan hari.

    Dalam usaha memberi galakan kepada murid-murid untuk sentiasa teruja setiap kali hendak sekolah, jelas beliau, pihak sekolah sentiasa mengadakan pelbagai aktiviti atau program seumpamanya sebelum dan selepas cuti persekolahan.

    Murid-murid Sekolah Rendah Anggerek Desa teruja menyertai aktiviti dalam Program Siuknya ke Sekolah anjuran sekolah berkenaan, baru-baru ini. – Gambar serahan Sekolah Rendah Anggerek Desa
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...