Thursday, July 17, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    S’jaya persaingan ditubuhkan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Ogos – Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan titah perkenan bagi penubuhan Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam yang dimandatkan untuk mempromosi persaingan perniagaan di pasaran negara ini melalui penguatkuasaan Perintah Persaingan 2015.

    Baginda Sultan juga telah memperkenankan pelantikan Dato Paduka Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny sebagai pengerusi badan bebas tersebut bersama enam orang ahli yang berkuatkuasa pada 1 Ogos 2017. Ahli-ahli yang dilantik ialah Setiausaha Tetap (Perindustrian) di JPM, Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah; Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Penolong Peguamcara Negara di Jabatan Peguam Negara, Haji Abdullah Soefri bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Kemajuan Ekonomi (JPKE); Ketua Bahagian FDI Action and Support Centre (FAST), Awang Mohammad Harris bin Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim dan Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Global) Universiti Brunei Darussalam, Dr. Joyce Teo Siew Yean.

    Selaras dengan ini, Suruhanjaya Persaingan akan memantau dan bertindak ke atas hal ehwal persaingan seperti yang dimandatkan di bawah perintah berkenaan termasuk mengadili kes-kes anti-persaingan dan mengenakan penalti ke atas syarikat-syakirat yang didapati melanggar perintah berkenaan.

    Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna ditubuhkan di bawah JPKE untuk membantu Suruhanjaya Persaingan dalam hal-hal penyiasatan dan pentadbiran. Jabatan ini juga bertanggungjawab dalam melaksanakan fungsi-fungsi seperti pemberigaan, menerima aduan dan melaksanakan kajian pasaran.

    Sebelum penguatkuasaan perintah ini, satu tempoh peralihan akan diperkenalkan terlebih dahulu setelah kerja-kerja pemberigaan untuk meningkatkan kesedaran dan budaya mengenai persaingan di negara ini telah dilaksanakan.

    Penguatkuasaan Perintah Persaingan 2015 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan larangan amalan dan perjanjian anti-persaingan untuk memberi masa kepada semua pihak bersiap sedia ke arah penguatkuasaan yang teratur.

    Pewujudan Perintah Persaingan 2015 dan penubuhan Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam ini menekankan usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk mencapai pembangunan ekonomi yang mampan selaras dengan matlamat ekonomi di dalam Wawasan Brunei 2035 serta menunjukkan komitmen kerajaan di dalam memenuhi matlamat Komuniti Ekonomi ASEAN.

    Perintah Persaingan 2015 dihasratkan untuk menangani sebarang kerisauan mengenai hal-hal persaingan di samping memelihara fungsi pasaran ekonomi yang teratur, mewujudkan ketentuan dan meningkatkan keyakinan para pelabur, di samping sebagai jaringan keselamatan yang akan melindungi kepentingan peniaga tempatan dan kebajikan pengguna.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda