SEOUL, 25 Julai – Pengeluar cip Korea Selatan SK Hynix mencatat keuntungan tinggi pada suku kedua tahun ini, kata syarikat hari ini, tatkala permintaan yang kukuh untuk cip memorinya yang digunakan dalam server komputer dan komputer peribadi mendorong harga naik.
Angka suku terbaik yang dicatat oleh pembekal Apple itu dirangsang oleh pertumbuhan dalam perkhidmatan komputer awan dan komputer peribadi mahal untuk pemain permainan, yang terus mewujudkan permintaan untuk cip DRAM mereka yang popular. Keuntungan bersih firma untuk tempoh April hingga Jun melonjak 763 peratus berbanding setahun lalu kepada 2.47 trilion won, sementara keuntungan operasi juga meningkat 574 peratus kepada 3.05 trilion won, kedua-dua angka memecah rekod syarikat.
SK Hynix adalah pengeluar cip DRAM kedua terbesar di dunia, selepas Samsung. Penyerahan cip meningkat tiga peratus daripada suku sebelumnya dengan harga naik 11 peratus, disebabkan permintaan yang kukuh daripada sektor server, kata firma dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan berasingan, permintaan untuk cip memori NAND yang digunakan dalam telefon pintar dan peranti lain meleset disebabkan “pertumbuhan permintaan yang lembap dalam telefon pintar,” kata SK Hynix, menambah ia menjangka prestasi bertambah baik dalam separuh tahun kedua.

“Pelancaran telefon pintar baru yang menggunakan cip memori NAND berkapasiti tinggi akan merangsang permintaan,” katanya. Firma itu berkata ia akan menambah pengeluaran cip DRAM dan NAND pada separuh tahun kedua untuk memenuhi permintaan global yang meningkat untuk cip memori.
“Kami merancang mengadakan perkembangan separa dalam pusat pengeluaran untuk cip DRAM dan NAND pada akhir tahun,” kata seorang pegawai syarikat menerusi panggilan persidangan.
“Permintaan pasaran hanya boleh dipenuhi menerusi kilang pengeluaran baru,” kata pegawai, menambah firma merancang mempercepat pembinaan kilang di bandar China Wuxi dan Cheongju di Korea Selatan. – AFP