Wednesday, March 19, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Skandal penipuan umur sekali lagi belenggu Iraq

    BAGHDAD – Dengan menyaksikan para pemain diharamkan daripada membuat penerbangan, barisan pegawai eksekutifnya dipecat dan skuad kebangsaan menarik diri daripada Sukan Asia, bola sepak Iraq kelihatannya menerima padah atas siri skandal penipuan umur.

    Kira-kira lima bulan yang lalu,FIFA memberikan nyawa baharu kepada bola sepak Iraq dengan menarik semula sekatan selama tiga dekad ke atas negara itu daripada menganjurkan perlawanan-perlawanan antarabangsa.

    Namun siri penipuan umur telah meletakkan reputasi bola sepak antarabangsa Iraq kembali huru-hara, di mana para pemain dan jurulatih menyatakan pihak berkuasa sudah lama membutakan mata terhadap penipuan itu selagi ia dapat membawa kemenangan.

    Karim Saddam, salah seorang legenda bola sepak negara itu, berkata Persatuan Bola Sepak Iraq (IFA), “cuba sedaya upaya dan tidak kira apa cara sekalipun untuk memastikan pasukan meraih kemenangan dan mendapat pujian daripadanya.”

    Demi melakukan perkara itu, “Ia akan membutakan matanya terhadap penipuan pengenalan pemain dalam mana-mana pasukan.”

    Para pemain dan jurulatih menyatakan pihak berkuasa sudah lama membutakan mata terhadap penipuan itu selagi ia dapat membawa kemenangan. – AFP
    Gambar fail yang diambil pada 21 Mac 2018 menunjukkan penyokong Iraq bersorak bagi pasukan mereka dalam satu perlawanan persahabatan antara Iraq dan Qatar di Stadium Basra Sports City. – AFP

    Gegaran pertama menimpa pada 30 Julai, apabila skuad bola sepak bawah-16 tahun Iraq diharamkan daripada berlepas untuk menyertai kejohanan serantau di Jordan.

    Tidak tertipu dengan perubahan imej para pemain, anggota pegawai lapangan terbang Baghdad mendapati sembilan orang ahli pasukan telah memalsukan umur mereka dalam pasport masing-masing.

    IFA dengan serta-merta memecat pegawai pasukan, yang mana para pemain mendakwa mereka diarahkan untuk mencukur janggut dan misai mereka untuk kelihatan lebih muda.

    Ia juga berjanji untuk mengambil tindakan ke atas ‘pemain-pemain yang memalsukan umur mereka’.

    Selang beberapa minggu kemudian, aktivis antipenipuan telah memuatnaik bukti secara online bahawa beberapa orang pemain telah membuat undian dalam pilihan raya bulan Mei, terbukti mereka berusia lebih 18 tahun.

    Untuk mengelakkan denda sebanyak AS$30,000 kerana tidak menyertai kejohanan, Iraq sebaliknya menghantar pasukan bawah-14 tahun sebagai pengganti.

    Denda AS$100,000

    Pada 1 Ogos, pasukan bawah-23 tahun Iraq telah digugurkan daripada Sukan Asia, yang dijangka bermula akhir bulan ini, selepas para aktivis sekali lagi menggunakan media sosial dengan mendakwa 17 orang daripada 23 pemain telah menipu tentang umur mereka.

    Pasukan itu berdepan denda AS$100,000 dan berpotensi dikenakan penggantungan bagi edisi 2022.

    Hanya beberapa hari kemudian, pihak berkuasa membubarkan pasukan bawah-19 tahun, yang dijangka berada Indonesia musim luruh ini bagi final Kejuaraan AFC.

    Selepas kejatuhan rejim Saddam, beribu-ribu penduduk Iraq telah memalsukan kad pengenalan mereka, mengubah agama, tempat tinggal atau nama untuk mengelakkan daripada kemarahan kumpulan bersenjata. – AFP

    Para pegawai berkata skuad itu akan ditubuhkan semula setelah pengenalan pemain diperiksa sepenuhnya.

    Pihak berkuasa sukan di Iraq telah cuba mengawal krisis itu dengan mengumumkan pemeriksaan baharu dan menegaskan bahawa mereka terkejut dengan skala masalah itu.

    Tetapi, “orang ramai yang mengikuti perkembangan bola sepak Iraq memang sudah maklum kenapa Iraq menarik diri daripada Sukan Asia,” kata Hassan Ahmed, jurulatih kelab divisyen pertama Iraq, Al-Naft.

    “Ia memang dijangka skandal kedua akan meletus selepas isu pasukan bawah-16 tahun.”

    Ahmed menolak dakwaan IFA bahawa pasukan itu terpaksa menarik diri daripada kejohanan itu kerana sebahagian pemain tidak dilepaskan oleh kelab-kelab mereka, termasuk Al-Naft.

    Budaya pemalsuan

    Satu sebab IFA mungkin terdesak untuk menang kerana ia dipulaukan di tanah air sendiri, kata Saddam, yang telah bermain dalam pasukan Piala Dunia 1986 bersama Iraq.

    IFA mempunyai konflik dengan Kementerian Belia dan Sukan mengenai keuntungan penjualan tiket stadium dan telah diboikot oleh tokoh-tokoh besar bola sepak.

    Wartawan sukan, Zidan al-Rubaie berkata penipuan bola sepak hanya permukaan daripada ‘budaya pemalsuan berleluasa’.

    Di bawah pemerintahan Saddam Hussein, penduduk Iraq dipaksa mencari cara kreatif untuk mengelakkan lebih daripada penggantungan antarabangsa selama sedekad, dan selepas penggulingannya, cuba untuk menghindarkan keganasan dan pelampau.

    Ketika huru-hara yang terjadi selepas kejatuhan rejim Saddam, beribu-ribu penduduk Iraq telah memalsukan kad pengenalan mereka, mengubah agama, tempat tinggal atau nama untuk mengelakkan daripada kemarahan kumpulan bersenjata. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda