Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Pelancaran inisiatif SkillsPlus di bawah program Learn and Grow di Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kementerian Pendidikan merupakan hasil daripada usaha sama antara kementerian, sektor awam dan sektor swasta.
Inisiatif itu menyediakan bantuan pembiayaan kepada pencari kerja tempatan dan pekerja tempatan di sektor swasta bagi peningkatan kemahiran dan kemahiran semula.
Ia juga menawarkan bantuan pembiayaan untuk mereka meneruskan pembelajaran dan latihan di mana ia telah membantu lebih 490 orang individu dalam meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula untuk memenuhi industri dan sektor perkhidmatan ekonomi.
Inisiatif itu telah dikongsi oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh ketika menyampaikan kenyataan mengenai Dasar-dasar Pembelajaran Sepanjang Hayat peringkat Nasional: Pencapaian, Cabaran-cabaran dan Rekomendasi melalui video pra-rakaman semasa Bengkel Dasar-dasar Pembelajaran Sepanjang Hayat Nasional ke arah Kemapanan di Asia Tenggara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini, bengkel tersebut merupakan sebahagian daripada Persidangan Pendidikan Dewasa Antarabangsa ke-7 (CONFINTEA VII) anjuran Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat UNESCO (UIL) yang diadakan secara maya pada 16 Jun.
Semasa acara itu, Yang Berhormat Datin mengongsi pelbagai kemajuan dan usaha ke arah memastikan pembelajaran sepanjang hayat di Negara Brunei Darussalam terutamanya melalui pendekatan whole of nation dalam mempromosikan peluang bagi pembelajaran sepanjang hayat yang melibatkan pihak-pihak berkepentingan dengan aktif termasuk kolaborasi antara kementerian serta kerjasama antara sektor awam dan swasta.
Yang Berhormat Datin mengakhiri kenyataannya dengan kepercayaan bahawa dengan adanya tadbir urus yang baik dan kerjasama serantau boleh memastikan tiada pelajar sepanjang hayat ketinggalan dan wilayah ini dapat dibangunkan secara mampan.
Bengkel itu dihadiri oleh menteri-menteri pendidikan dari negara-negara SEAMEO seperti Kemboja, Laos, Republik Filipina, Thailand dan Timor-Leste yang mengongsi dasar kebangsaan mengenai pembelajaran sepanjang hayat terhadap kemapanan di negara masing-masing.