SkillUP urus dan jejak kompetensi pekerja sektor tenaga

Oleh Sim Y. H.

Bagi memantau kompetensi pekerja tempatan dalam sektor tenaga, satu aplikasi industri, SkillUP diperkenalkan pada Hari Penglibatan Pasaran bagi Organisasi Latihan berdaftar di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini.

Aplikasi tersebut yang merupakan platform dalam talian dibangunkan Jawatankuasa Pandu Tenaga Manusia Industri, Tenaga (MISC Energy) boleh digunakan oleh pelbagai agensi, industri, pengawal selia dan pekerja untuk mengurus dan menjejak perkembangan kerjaya mereka.

Ia juga membantu seseorang untuk menguruskan kemahiran mereka di mana ia menyediakan pendekatan berintegrasi dalam pengurusan kemahiran dan kompetensi dalam industri berkenaan.

SkillUP boleh digunakan di seluruh negara sebagai sebahagian daripada inisiatif Jawatankuasa Pandu Tenaga Manusia Industri (MISC) sebagai platform repositori tunggal bagi tenaga kerja tempatan, pihak-pihak berkepentingan industri dan agensi-agensi, yang boleh dimuat naik, disahkan dan dipantau pembangunan kompetensi dan kerjaya seseorang di bawah gabungan sepanduk tunggal.

Inisiatif itu membolehkan standard kemahiran industri kekal konsisten dan dikawal selia di mana ia membuka lebih banyak peluang untuk anak-anak tempatan dan membantu pasaran pekerjaan untuk memadankan permintaan secara lebih efisien dengan memanfaatkan teknologi untuk menjana sebuah ekosistem digital yang membolehkan pergerakan yang lebih pantas.

Gambar fail lepasan graduan kursus kimpalan bersama Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw dan pihak pengurusan BSP. Pekerja tempatan dari sektor tenaga kini boleh mengurus dan menjejaki kemahiran mereka melalui SkillUP.
Pemandangan sebuah pelantar minyak terkenal pada waktu malam yang menghidupkan sektor tenaga di seluruh dunia. – Agensi
Wakil Syarikat DotRoot Technologies semasa menghadiri majlis Hari Penglibatan Pasaran bagi Organisasi Latihan Berdaftar baru-baru ini. Syarikat itu diberikan amanah untuk membangunkan aplikasi SkillUP. – Gambar serahan MISC Energy

Rangka kerja bagi SkillUP adalah berpandukan kepada salah satu inisiatif oleh MISC Energy iaitu program pembangunan kompetensi, iSkill. Program itu disasarkan kepada kerjaya berasaskan kemahiran seperti pengimpal, scaffolders, riggers dan blaster-painters dan marker fitters serta dihasratkan untuk mentakrifkan kompetensi standard industri bagi pekerjaan-pekerjaan itu.

Program itu akan mengembangkan lagi skopnya kepada kemahiran-kemahiran lain di mana program berkenaan sedang melalui kajian semula yang rapi oleh pihak industri dengan satu matlamat iaitu untuk meningkatkan kebolehkerjaan tenaga kerja tempatan dengan penandaarasan bidang-bidang latihan kepada standard antarabangsa.

Program itu juga mengambil pendekatan menyeluruh di mana ia dikembangkan menggunakan rangka kerja tri-parte yang merangkumi pihak-pihak utama yang berkepentingan relevan dalam industri, pengawal selia dan organisasi latihan yang bekerjasama dalam memastikan latihan serta hasilnya memenuhi standard industri dan pada masa yang sama, kekal mampu berubah bagi menampung pembangunan ekonomi masa hadapan negara.

Dalam hubungan itu, pengenalan aplikasi SkillUP merupakan satu pencapaian yang amat bermakna bagi sebuah syarikat tempatan yang membangunkan aplikasi berkenaan, DotRoot Technologies.

Syarikat yang mempunyai lebih daripada 40 projek dalam portfolio mereka, menyatakan bahawa membangunkan aplikasi SkillUP merupakan satu bab yang amat penting dalam perjalanan syarikat dan pengalaman mereka.

Keperluan bagi aplikasi berkenaan adalah amat komprehensif dengan keperluan pengguna pelbagai peringkat di mana secara teknikal, ia merupakan tugasan yang mencabar dan signifikan untuk membangunkan antara muka pengguna yang menggunakan peristilahan teknikal serta proses yang digunakan oleh industri tenaga.

Sebagai sebuah firma pembangunan penuh, DotRoot Technologies yang membangunkan pelan pembangunan hujung ke hujung (end-to-end) bagi SkillUP menerusi perbincangan dan maklum balas yang ekstensif dengan pihak industri di mana mereka mempelajari sambil memperhalus lagi pendekatan mereka sesuai dengan keperluan industri.

Pada masa yang sama, dengan sokongan aktif daripada Pasukan In-Country Value dari Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), kumpulan projek pembangunan aplikasi berkenaan turut mendapat bimbingan daripada pakar-pakar dalam bidang masing-masing.

Di samping itu, kumpulan projek juga membangunkan sebuah sistem seni bina yang komprehensif di mana ia patuh kepada keperluan teknikal industri dan juga mampu untuk memperbaiki lagi pengalaman pengguna.

Pendedahan kepada industri itu turut memberikan peluang kepada DotRoot untuk berani tampil ke hadapan dalam mengurus serta mengendalikan projek-projek pembangunan yang lebih kompleks atau mencabar di masa akan datang.

Aplikasi SkillUP akan mula digunakan pada September nanti di mana pengguna rintis adalah disasarkan kepada kohort pertama bagi iSkill NTEC Level 3 Welder Program yang akan dikendalikan oleh Institut Pendidikan Teknikal Brunei.