SKMM terajui Projek Demonstrasi 5G

KUALA LUMPUR, 20 JAN – Malaysia bakal melakar nama di arena global serta setanding dengan negara-negara maju susulan pelaksanaan Projek Demonstrasi 5G (5GDP) yang diterajui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Malah, kemajuan dalam melaksanakan teknologi mudah alih generasi kelima (5G) itu turut mentakrifkan kesediaan ekonomi digital Malaysia, terutama industri serta perusahaan kecil dan sederhana dalam menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat.

Dalam satu kenyataan hari ini, SKMM berkata menerusi 5GDP, Malaysia telah meletakkan asas untuk menerajui pelaksanaan teknologi 5G di rantau Asia Tenggara. “Menurut kajian terbaharu Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), pelaksanaan 5G tersebut dapat menyumbang kira-kira RM12.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mampu mewujudkan sebanyak 40,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Satu ekosistem 5G yang komprehensif kini dilaksanakan dengan pelbagai pendekatan baharu merangkumi rangkaian dan perkongsian infrastruktur antara penyedia-penyedia perkhidmatan, semakan semula dasar, usaha sama dan sebagainya,” katanya. – Bernama