SKN beri data komprehensif golongan sasaran

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Sistem Kebajikan Negara (SKN) yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal tahun depan akan memberikan data yang komprehensif di peringkat kebangsaan secara pusat daripada semua agensi yang terlibat dalam pemberian bantuan dan perkhidmatan
kebajikan.

Ini akan memberi gambaran lebih menyeluruh mengenai profil golongan sasaran bagi mengelakkan ketirisan dan duplikasi.

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) akan menerajui penyediaan dasar dan proses pelaksanaan SKN bersama pihak-pihak berkepentingan terutamanya Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Majlis Ugama Islam Brunei, Kementerian Pendidikan dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Perkara ini dijelaskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Majer Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin ketika mengongsikan strategi-strategi yang dilaksanakan kementeriannya semasa sesi muzakarah bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Serbaguna Pusat Pembangunan Belia (PPB), hari ini.

Dalam ucapannya itu, beliau mengetengahkan beberapa strategi berterusan kementerian seperti Mengukuhkan Jaminan Sosial dan Perlindungan kepada Masyarakat Golongan yang Memerlukan, melalui Program Pelan Membasmi Kemiskinan menerusi Pengurangan Kebergantungan kepada Bantuan Kerajaan.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan mengongsikan strategi-strategi KKBS semasa sesi muzakarah bersama ahli-ahli MMN.
Ahli-ahli MMN ketika melawat salah satu bengkel yang diadakan di PPB.

“Pada masa ini, Pelan Tindakan Isu Kemiskinan sedang dikaji semula, agar ianya lebih berkesan dan result-oriented dengan berpandukan kepada data sebenar,” ujarnya.

Turut diteliti ialah skim perumahan bagi golongan susah, program bantuan pendidikan, meluaskan rangkaian pengangkutan, memberikan kemahiran yang dapat menjana pekerjaan dan keusahawanan serta pembentukan dasar dan perundangan yang berkaitan.

Kesemua ini, tegas beliau, memerlukan pendekatan whole of nation yang turut melibatkan pihak pertubuhan bukan kerajaan, persatuan-persatuan serta majlis.

Menurut beliau lagi, dalam usaha meningkatkan kecekapan ekonomi mandiri dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan, Kementerian mengutamakan peluang pekerjaan dan keusahawanan melalui latihan kemahiran dan pengupayaan.

Beberapa Program telah diteruskan dan beberapa program baharu diperkenalkan seperti perlaksanaan Program TEKAD (Teguhkan Ekonomi Keluarga Asas BerDikari), Program Prihatin Kemahiran, sepertimana yang ditumpukan kepada golongan sasaran, Program Pelan Pekerjaan dan bantuan mikro.

Beliau mengongsikan bahawa pihak kerajaan telah memberikan bantuan kepada seramai 5,788 penerima Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB) dengan jumlah kewangan sebanyak $ 9.73 juta bagi tahun Kewangan 2019/2020 sehingga kini.

“Apa yang penting, kebergantungan ini khususnya bagi golongan able-bodied dan able-to-work hendaklah dikurangkan melalui pekerjaan dan keusahawanan.

“Kita akan memastikan tidak adanya ketirisan kepada golongan-golongan berhak untuk diberikan bantuan. Melalui Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS), setiap jawatankuasa khas sedang giat dan terus melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah pelan tindakan masing-masing,” ujarnya.

Menyentuh mengenai PPB, beliau berkata, program di pusat berkenaan telah dilaratkan secara inklusif kepada pelbagai golongan masyarakat termasuk golongan berpendapatan rendah khususnya kaum hawa, belia mengganggur serta orang kelainan upaya dan turut melibatkan pihak majlis perundingan kampung dan agensi kerajaan.

Ini, jelasnya, akan memberikan peluang-peluang yang tinggi kepada golongan berkenaan bagi mendapatkan pekerjaan dan memulakan perusahaan.

“Kita sedang meneliti sama ada PPB ditukar fungsi dan peranan kepada pembangunan komuniti agar ianya dilihat sebagai inklusif,” kongsi.

Beliau juga mengongsikan inisiatif ke arah keusahawanan bagi warga emas, para belia dan orang kelainan upaya yang mana KKBS telah mula merancang untuk membentuk perusahaan bagi Pusat Kegiatan Warga Emas dan Pusat Bahagia di samping pemberian bantuan dan platform kepada golongan-golongan tertentu termasuk para belia.

Terdahulu sebelum sesi muzakarah berkenaan, rombongan ahli MMN yang diketuai Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad telah mengadakan lawatan ke PPB bagi mengetahui lagi lebih dekat perkembangan terkini pusat berkenaan di mana mereka meninjau bengkel-bengkel yang diadakan.