Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Jaringan pada waktu kecederaan Yang Sheung Kai meranapkan harapan Pasukan Bawah 15 Tahun (B-15) Brunei Darussalam untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata dalam aksi peringkat kumpulan pusingan kelayakan Kejohanan Bola Sepak B-16 Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) 2017 di Taiwan hari ini.
Pemain negara menunjukkan permainan cemerlang dan mendahului pasukan tuan rumah melalui jaringan Hirman Abdul Latip pada minit ke-10 sebelum Lin Chun Kai menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki enam minit. Seterusnya peluang merebut satu mata hancur selepas jaringan Yang Sheung Kai pada saat-saat akhir perlawanan.
Jurulatih pasukan negara, Stephen Ng tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai perlawanan itu, namun menegaskan beliau bangga dengan persembahan yang ditunjukkan oleh pemain muda negara.
Menurutnya, “Saya tidak mahu bercakap banyak dan bagi saya, mereka bermain dengan baik namun sedikit malang apabila dibolosi pada minit-minit terakhir perlawanan.”