Skuad B-18 Malaysia teruskan impian ke Piala Dunia

KUALA LUMPUR, 22 MEI – Skuad Bawah 18 Tahun (B-18) kebangsaan Malaysia, memandang ke hadapan untuk menjadi pasukan Malaysia pertama membuat penampilan di pentas Piala Dunia, kata pengurusnya Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar.

Katanya, pihaknya kini menunggu prosedur operasi standard (SOP) sukan bola sepak, yang dijangka akan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada bulan depan, sebelum meneruskan perancangan menghadapi Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, Oktober depan.

“Kami amat komited untuk melayakkan diri ke Piala Dunia B-20 2021, untuk menjadi pasukan pertama Malaysia beraksi secara merit ke Piala Dunia. Ia bukan misi mustahil, memandangkan kita pernah menang dengan kuasa besar Asia seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Australia. Jurang itu tidak besar lagi.

“Tetapi kami perlu tunggu SOP yang dikeluarkan MKN nanti, sebelum kami boleh teruskan dengan pelan yang telah dirangka. Barisan kejurulatihan pasukan juga telah siap dengan beberapa alternatif, sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau berkata proses undian peringkat kumpulan Kejuaraan B-19 AFC 2020, yang menjadi medan kelayakan ke Piala Dunia B-20 2021 itu telah ditetapkan pada 21 Jun depan, sementara pusingan akhir kejuaraan itu tidak berdepan sebarang perubahan tarikh. – Bernama