Tuesday, April 16, 2024
36 C
Brunei

    -

    Skuad B-19 Brunei tetap di hati peminat meskipun tewas

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Skuad kebangsaan bawah 19 tahun (B-19) Brunei Darussalam mendapat pujian ramai dan sokongan meluas dalam kalangan pengikut Indonesia di media sosial meskipun tewas 7-0 kepada Indonesia semasa Kejohanan Lelaki B-19 Tahun Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Stadium Patriot Candrabhaga di Bekasi kelmarin.

    Skuad Tabuan Muda telah memikat hati rakyat Indonesia dengan akaun Instagram rasmi Persatuan Bolasepak Brunei Darussalam (FABD) dibanjiri komen-komen positif.

    Pemain muda Brunei turut dipuji atas sikap dan semangat kesukanan mereka yang baik walaupun terpaksa tunduk kepada kekalahan teruk bagi perlawanan kedua berturut-turut dalam Kumpulan A.

    Di sebalik kekalahan tersebut, Brunei telah memenangi hati ribuan penyokong apabila rakyat Indonesia menggalakkan mereka untuk meningkatkan semangat dan meneruskan usaha ke arah kemajuan.

    Pada masa sama, sokongan luar biasa yang ditunjukkan oleh penyokong tuan rumah menyerlahkan perpaduan dan solidariti dalam komuniti bola sepak ASEAN, ketika bola sepak di rantau ini menuju ke arah pemulihan berikutan pandemik COVID.

    Pemain skuad B-19 Brunei Darussalam semasa sesi bergambar ramai sebelum perlawanan menentang Indonesia kelmarin. – AFF

    Semasa perlawanan yang berlangsung kelmarin, pasukan kebangsaan B-19 Indonesia membuka jaringan seawal minit kedua dari sepak mula melalui penyerang Hokky Caraka Bintang Brilliant selepas merembat masuk hantaran silang rendah dari Kakang Rudianto.

    Sepuluh minit kemudian, Skuad Garuda Muda menggandakan kelebihan mereka menerusi Ronaldo Kwateh sebelum Hokky yang menjaringkan gol antarabangsa pertamanya, menambah gol keduanya dalam perlawanan tersebut. Penyerang PSS Sleman itu menyempurnakan hatrik pada minit ke-19 dengan Kakang mendapat satu lagi assist sebelum Arkhan Fikri menyumbang sebiji lagi gol seminit kemudian.

    Aksi cemerlang Hokky Caraka melonjakkannya ke tangga teratas carta penjaring terbanyak kejohanan selepas menambah gol keempat di minit akhir babak pertama perlawanan.

    Jaringan ketujuh Garuda Muda muncul di babak kedua perlawanan menerusi Alfriyanto Nico.

    Skuad kebangsaan B-19 Brunei akan meneruskan kempen menentang Vietnam di Stadium Patriot Candrabhanga esok.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sapporo alami musim panas paling awal

    TOKYO, 15 APRIL - Suhu di bandar utara Jepun, Sapporo melepasi 25 darjah Celsius, catatan paling awal dalam mana-mana tahun dalam rekod, kata seorang...