Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Skuad B-19 jalani latihan, siap sedia wakili Brunei

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Kohort terbaharu pasukan bawah 19 tahun Negara Brunei Darussalam telah dihimpunkan baru-baru ini untuk menjalani latihan sebagai persiapan Kejohanan Lelaki Bawah 19 Tahun Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Jakarta, Indonesia dari 2 hingga 15 Julai pada tahun ini.

    Seramai 28 pemain dari pelbagai kelab domestik telah menerima panggilan ke pasukan remaja negara berikutan proses pemilihan.

    Pasukan bawah 19 tahun negara kini sedang giat menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Kejohanan AFF Bawah 19 pada Julai nanti, menurut Pengurus Pasukan, Awang Mohd Nazib bin Haji Ali semasa ditemui media di Padang FABD A.

    “Pasukan ini telah berlatih sejak Februari hingga sekarang termasuk pada bulan Ramadan sebelum berbuka puasa dan selepas solat Tarawih,” tambahnya.

    Proses pemilihan pada awalnya melibatkan sekitar 60 hingga 70 pemain berusia 18 tahun ke bawah dari kelab berdaftar di negara ini seperti DPMM FC, Kasuka FC, Indera SC, KB FC, Wijaya FC dan IKLS FC.

    Pemain bawah 19 tahun Negara Brunei Darussalam telah dihimpunkan baru-baru ini bagi persiapan kejohanan yang akan datang.

    Setiap individu dinilai berdasarkan tahap kecergasan, sifat fizikal dan mental mereka termasuk memiliki kebolehan menahan dan menerima bola serta berinteraksi dengan pemain lain.

    Awang Mohd Nazib berkata, “Semasa proses pemilihan, terdapat banyak pendekatan untuk mengenal pasti pemain bagi memastikan mereka dipilih secara meluas untuk mewakili Brunei.” Pemilihan kumpulan dikurangkan kepada kepada 40 pemain sehingga mereka mencapai had 28 pemain yang akan disimpan untuk kejohanan tersebut.

    Pengurus pasukan tersebut berkata bahawa mereka akan mengikut peraturan yang di-gariskan AFF sama ada pasukan itu dibenarkan mengambil 26 atau 28 pemain.

    Beliau juga mengongsikan bahawa pasukan tersebut kini menjalani latihan intensif untuk memastikan mereka sentiasa cergas bagi menekankan keperluan untuk menjalankan latihan berterusan bagi mencapai sasaran mereka.

    Latihan juga diadakan bagi mematuhi protokol yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan bagi membendung penularan wabak COVID.

    Selain sesi kecergasan, latihan secara khusus tertumpu pada mengharmonikan permainan, mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam dalam kalangan pemain dan kedudukan pemain.

    Pengurus pasukan tersebut menambah bahawa pelan telah disediakan untuk mengekalkan pasukan selepas pertemuan AFF untuk kejohanan antarabangsa masa hadapan termasuk kelayakan Kejohanan Bawah 20 Tahun Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada September tahun ini.

    “Insya-Allah pasukan ini akan diteruskan jika ada peluang untuk mengambil bahagian dalam kejohanan Piala Hassanal Bolkiah (HBT) dan Sukan Asia Tenggara pada tahun hadapan,” kata pengurus itu.

    Sementara itu, Ketua Jurulatih, Haji Faizalani bin Haji Abdul Ghani berkata bahawa terdapat dua hingga tiga pemain baharu yang telah dimasukkan ke dalam pasukan bawah 19 tahun negara dengan mengambil kira kemajuan mereka semasa pertandingan bawah 19 tahun di Brunei.

    Majoriti pemain dalam skuad berkenaan telah menimba pengalaman di peringkat serantau khususnya dalam kejohanan AFF dan AFC sebelum ini.

    Ketua jurulatih itu berkata, “Kami akan cuba memberikan saingan walaupun kami tidak mengambil bahagian dalam pertandingan itu dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini disebabkan oleh pandemik COVID-19.”

    Beliau berkata semangat para pemain adalah memberangsangkan walaupun kekurangan aktiviti bolasepak ditambah dengan mereka telah mengikuti latihan secara berkala terutama ketika berpuasa.

    “Pada masa ini, pasukan di rantau ini telah menunjukkan kebolehan mereka. Tidak ada satu pun yang boleh dianggap sebagai kegemaran kerana peningkatan drastik bolasepak di luar negara,” menurutnya. “Kami tidak boleh menganggap siapa yang terbaik di antara pasukan yang kuat di rantau ini,” tambahnya lagi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...