Skuad basikal trek M’sia pamer kayuhan kurang bertenaga

TOKYO, 26 OGOS – Skuad berbasikal trek Malaysia ternyata menghasilkan kayuhan kurang bertenaga, apabila kesemua wakilnya tidak menyerlah pada kempen hari pertama mereka di Sukan Paralimpik Tokyo.

Pelumba Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais bersama jurumudinya Nurul Suhada Zainal, yang memulakan saingan kempen skuad Malaysia di Velodrom Izu pagi tadi, sekadar meraih tempat kesembilan dalam acara trek 1,000 meter (m) ujian masa wanita B (kecacatan penglihatan) dengan merekodkan 1 minit 15.005 saat (s).

Pelumba Belanda, Larissa Klaassen, bukan sahaja meraih emas malah turut memperbaharui rekod Sukan Paralimpik dengan catatan 1:05.219 saat (s), meninggalkan wakil Great Britain Aileen McGlynn Obe untuk merangkul perak dengan 1:06.743s, manakala Griet Hoet dari Belgium yang merekod masa 1:07.943s membawa pulang gangsa.

Bagi acara 3,000m kejar mengejar lelaki C1 (kecacatan fizikal), Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin pula, terpaksa melupakan hasrat untuk sekurang-kurangnya beraksi pada perlumbaan penentuan pingat gangsa, selepas menduduki tangga ketujuh daripada 10 pelumba dalam saingan kelayakan dengan masa 3:58.413s.

Pelumba dari Jawatankuasa Paralimpik Rusia Mikhail Astashov, yang muncul pelumba terpantas dalam saingan berkenaan, turut memecah rekod dunia dengan catatan masa 3:35.954s. – Bernama

Reaksi Larissa Klaassen dari Belanda, dengan jurumudinya, Imke Brommer semasa meraikannya kemenangan perlumbaan trek berbasikal B 1000 meter wanita di Velodrome Izu di Paralimpik Tokyo semalam. – AP