Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Seramai 19 orang kontinjen Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada pegawai dan atlet sukan bola jaring, ekuestrian (endurance) dan akuatik (renang berirama) telah pulang ke tanah air selepas bertanding di Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-29 Kuala Lumpur.
Pasukan bola jaring Brunei Darussalam disambut sebagai wira apabila berjaya memenangi pingat gangsa dalam di temasya sukan dwitahunan itu.
Ketibaan mereka dialu-alukan oleh Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Amer Hamzah bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria, para pegawai dan kakitangan KKBS.
Menurut ketua pasukan bola jaring kebangsaan, Siti Marhayati binti Ahmad menyatakan bahawa beliau sangat gembira dan berbesar hati selain bangga dengan pencapaian pasukan bola jaring kebangsaan dalam temasya Sukan SEA pada kali ini.
“Kami melalui banyak cabaran dan tugas berat dari peringkat pendedahan serta kami sangat berbesar hati dan menjunjung kasih atas sokongan padu Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah yang tidak kendur-kendur,” ujarnya.
Selain daripada itu, beliau turut menghargai sokongan presiden Persatuan Bola Jaring Brunei Darussalam yang sentiasa memberikan dorongan kepada kami dalam latihan.
“Saya sangat gembira apabila pasukan kita berjaya mengecilkan jurang jaringan berbanding dua tahun lalu di Singapura dan ketinggian menjadi sebab utama kenapa kita tewas kepada Thailand pada perlawanan terakhir tempoh hari,” katanya.
Namun begitu, beliau menyatakan harapan agar semua pemain akan terus giat memperjuangkan sukan bola jaring dan berusaha menjadikan kelemahan sebagai sukat-sukat memperkembangkan skuad negara bagi penyertaan di masa akan datang.