Monday, October 3, 2022
24.6 C
Brunei

Skuad bola sepak wanita buru kelayakan Piala Asia

-

KUALA LUMPUR, 24 OGOS – Skuad bola sepak wanita Malaysia mungkin kurang persiapan, namun tetap bersemangat tinggi untuk bersaing pada pusingan kelayakan Piala Asia Wanita 2022 yang dijadualkan berlangsung di Palestin bulan depan.

Pemain berpengalaman Steffi Sarge Kaur Sarjan Singh berkata, ketika ini setiap pemain fokus pada misi mereka dan berharap mencipta keputusan yang baik dalam peringkat kelayakan walaupun baru memulakan latihan berpusat di Wisma FAM, Kelana Jaya, Sabtu lalu.

Pemain berusia 33 tahun itu, yang dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan selepas sedekad, mengakui gembira dapat kembali lebih-lebih lagi dengan kehadiran ramai muka baharu dan muda.

“Saya sangat gembira dapat bermain dan berlatih dengan mereka (pemain baharu), malah sebenarnya tidak sabar. Saya ingin lihat, bagaimana gabungan pemain muda dan senior ini di padang. Saya rasa setiap pemain yang berjaya mewakili pasukan kebangsaan mahu menang demi negara.

“Jadi satu-satunya matlamat saya adalah melakukan yang terbaik dan berharap pasukan kami dapat mencapai sesuatu di Palestin nanti. Fokus utama kami adalah beri 100 peratus dalam latihan dan pada hari kejohanan,” katanya dalam temu bual melalui video dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini.

Seorang lagi pemain, Eva Olivianie Antinus berharap dapat mempamerkan persembahan yang lebih baik berbanding penampilan terakhir mereka semasa Sukan SEA 2019 di Manila, apabila pasukan Malaysia kalah dalam kedua-dua perlawanan Kumpulan A menentang Filipina dan Myanmar masing-masing dengan keputusan 5-0. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea Utara lancar peluru berpandu balistik keempat

SEOUL, 2 OKT – Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik kelmarin, menjadikan keseluruhan empat pelancaran minggu ini oleh negara bersenjata nuklear itu. Ujian itu...
- Advertisment -