Skuad boling padang hantar barisan pelapis

KUALA LUMPUR, 22 JULAI – Skuad boling padang Malaysia dijangka menggunakan khidmat pemain pelapis sekiranya sukan itu dipertandingkan pada Sukan SEA ke-31 di Vietnam pada tahun hadapan.

Ketua Jurulatih Skuad Boling Padang Kebangsaan Zuraidi Puteh berkata skuad pelapis berkenaan akan dibentuk daripada peserta-peserta Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 yang telah ditunda ke tahun hadapan.

Beliau berkata pihaknya masih menunggu keputusan daripada Vietnam berhubung penyenaraian sukan berkenaan sebelum membentuk skuad pelapis.

“Kita mahu skuad elit sedia ada memberi tumpuan kepada beberapa kejohanan utama termasuk  Kejohanan Dunia (World Bowls) di Australia dan Kejohanan Asia di China yang bakal dijadikan sebagai medan pemilihan ke Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England yang menjadi sasaran utama kita ketika ini.

“Skuad elit kebangsaan dibarisi 20 pemain, iaitu masing-masing 10 pemain yang sedang dipersiapkan bagi menghadapi Kejohanan Dunia serta Asia pada tahun hadapan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini. – Bernama