DORTMUND, 11 April – Jurulatih Borussia Dortmund, Thomas Tuchel mempunyai masalah tersendiri untuk diselesaikan ketika mereka membuat persiapan untuk menerima kunjungan Monaco awal pagi esok bagi suku akhir pertama Liga Juara-Juara.
“Ia rumit. Terdapat banyak perkara yang kami perlu tangani,” kata Tuchel menjelang pertembungan di Signal Iduna Park, Dortmund.
Jurulatih Dortmund itu mempunyai senarai panjang kecederaan dan bergegas mahu pemain seperti Shinji Kagawa, Andre Schuerrle, Julian Weigl dan Lukasz Piszczek cergas.
Kesemua empat pemain itu diketepikan dalam kekalahan 4-1 kepada Bayern Munich bagi aksi Bundesliga hujung minggu lepas.
“Beberapa orang pemain akan kembali, kami tidak pasti bagaimana keadaan mereka, tetapi kami memerlukan mereka penuh bertenaga,” tambah Tuchel.
Sekurang-kurangnya pemain perancang, Marco Reus telah kembali berlatih selepas sebulan diketepikan kerana kecederaan hamstring.
Meskipun beraksi sebagai pemain gantian sudah cukup meningkatkan peluang pasukan tuan rumah, dalam pertembungan yang dijangka sengit antara dua pasukan yang suka menyerang.
“Marco berlatih kelmarin dan saya memilih untuk membawanya dan mungkin menurunkannya.
“Kami akan membuat keputusan mengenainya sebelum sepak mula,” kata Tuchel kepada wartawan. – AFP