Oleh HJ Rahim
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Sekalipun gagal mencapai sebarang kemenangan dalam empat perlawanan ujian yang diadakan, namun skuad bimbingan Steve Kean pulang lega tanpa kekalahan.
Kelab Bola Sepak DPMM FC mengakhiri perlawanan persahabatan dengan Pasukan Kasetsart FC yang berkesudahan seri 1-1, sekaligus mencatatkan empat keputusan seri dalam empat perlawanan ujian.
Rafael Ramazotti menjadi penjaring konsisten, satu gol bagi setiap perlawanan, untuk Pasukan DPMM FC.
Sentuhan gol penyerang dari Brazil itu tiba apabila hasil umpanan menarik Azwan Ali kepada Billy Mehmet yang kemudian melorong bola kepada Ramazotti untuk mengegarkan gawang tuan rumah yang beraksi dalam Divisyen Satu, Liga Thailand.
Pengurus Pasukan DPMM FC, Mohd Ali bin Haji Momin melahirkan rasa gembira atas persembahan keseluruhan yang ditunjukkan oleh pemain-pemain di sepanjang perlawanan pemanasan badan itu diadakan. “Pemain-pemain telah menunjukkan persembahan dan disiplin yang baik di sepanjang perlawanan.
Ia merupakan satu petanda yang baik kepada pasukan,” katanya ketika dihubungi di Bangkok, hari ini.
Menurutnya lagi, pemain-pemain tempatan juga berjaya meningkatkan mutu permainan dan apa lebih membanggakan adalah tahap keyakinan mereka yang sangat baik.
Menyentuh persembahan barisan depan, Mohd Ali mengakui gandingan Ramazotti-Billy (Mehmet) telah menunjukkan kombinasi yang menarik.
“Dengan permainan mantap yang diperlihatkan, kita harap Ramazotti akan kekal menjadi penjaring terbanyak Liga Singapura lagi bagi tahun ini,” ujar Mohd. Ali. Sementara itu, pihak pengurusan kini dalam penilaian untuk mengikat seorang pemain import pertahanan tengah untuk disenaraikan dalam skuad DPMM FC bagi Kejohanan Liga Singapura musim ini.