Skuad hoki remaja M’sia langkah kiri di UK

KUALA LUMPUR, 4 OKT – Skuad Projek Khas Lelaki Malaysia bermula langkah kiri apabila tewas 2-0 kepada Repton Hockey Club dalam perlawanan Siri Jelajah United Kingdom 2021 semalam.

Skuad hoki remaja negara berjaya bertahan dengan baik pada awal perlawanan namun kesilapan menghadiahkan pukulan sudut penalti kepada pasukan lawan membawa padah apabila mereka membuka tirai jaringan pada minit ke-27.

Empat minit selepas suku ketiga perlawanan bersambung, tuan rumah menggandakan jaringan kali ini hasil gerakan padang dan keputusan 0-2 itu kekal hingga tamat perlawanan.

Pengendali Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan Wallace Tan menyifatkan perlawanan sulung dilalui anak buahnya dalam siri jelajah berkenaan adalah perlawanan yang banyak memberikan pengajaran berguna kepada barisan muda negara untuk terus memperbaiki setiap kesilapan dilakukan. – Bernama