BERLIN, 3 Okt – Jerman kini menghadapi masalah kecederaan bagi barisan serangan mereka menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia yang penting menentang Ireland Utara selepas penyerang pilihan pertamanya, Timo Werner (gambar) menarik diri semalam.
Selepas lapan kemenangan berturut-turut, Jerman hanya memerlukan satu mata di Belfast minggu ini bagi memastikan tempat mereka di Rusia 2018. Bagaimanapun, juara dunia itu mendapati kedua Werner, 21 dan penyerang veteran Mario Gomez diketepikan kerana cedera.
Gomez terseliuh buku lali bulan lepas, sementara Werner mempunyai masalah leher dan tulang belakang.
Penyerang RB Leipzig itu mengadu pening dalam aksi Liga Juara-Juara di Besiktas, di mana masalah itu mula-mula timbul.
“Kini bukan masanya memikirkan untuk bermain, kami perlu memastikan bahawa Timo cergas,” kata jurulatih Leipzig, Ralph Hasenhuettl selepas Werner terlepas dalam kemenangan 2-1 di Cologne bagi aksi Bundesliga.
Ketua jurulatih Jerman, Joachim Loew berkata dia tidak akan memanggil pengganti.
Loew dijangka menurunkan sama ada Lars Stindl dari Moenchengladbach, atau Sandro Wagner dari Hoffenheim atau pemain sayap Manchester City, Leroy Sane sebagai penyerang ketika menentang Ireland Utara.
Jerman sudah ketiadaan penjaga gol kelas dunia, Manuel Neuer, hingga bulan Januari ke-rana patah kaki.
Di barisan tengah, Loew kehilangan Mesut Ozil, Sami Khedira dan Mario Goetze, yang masih di bawah prestasi terbaik selepas hanya beraksi kembali pada bulan Ogos susulan ketiadaan selama tujuh bulan kerana masalah gangguan metabolisme.
Sementara itu pemain pertahanan Bayern Munich, Jerome Boateng dijangka membuat penampilan pertamanya selama lebih setahun.
Jerman menjangkakan perlawanan sukar di Belfast, di mana Ireland Utara masih belum bolos dalam empat perlawanan kelayakan di laman sendiri setakat ini.
Juara dunia itu memang 2-0 ketika kedua pasukan itu bertembung di Hanover pada bulan Oktober tahun lepas. – AFP