HANOI, 17 MEI – Malaysia sudah bersedia untuk mencipta kejutan ke atas Vietnam pada perlawanan separuh akhir acara bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31 dalam usaha menamatkan kemarau 11 tahun merangkul ‘ibu segala pingat’ temasya sukan dwitahunan itu.
Ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Malaysia, Brad Maloney, yakin pasukan bimbingannya tidak gentar untuk berdepan Vietnam yang dikendalikan jurulatih ‘bengis’ dari Korea Selatan, Park Hang Seo.
Pertembungan antara Vietnam yang merupakan juara Kumpulan A, dengan Malaysia selaku naib juara Kumpulan B dijadual berlangsung di Stadium Viet Tri di wilayah Phu Tho, Khamis ini.
Sementara itu, Maloney mengakui Hang Seo yang juga jurulatih skuad kebangsaan Vietnam seorang pengendali yang memiliki pendekatan taktikal yang perlu diawasi.
Jurulatih kelahiran Australia berusia 50 tahun itu turut berpuas hati apabila kelebihan layak ke separuh akhir lebih awal memberikan beliau peluang merehatkan beberapa pemain utama pada aksi terakhir bertemu Kemboja, semalam. – Bernama