Skuad petanque timba pengalaman di Myanmar

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jan – Empat pemain wanita negara menyertai Kejohanan Petanque Asia ke-20 tahun 2016 yang berlangsung di Nay Pyi Taw, Myanmar baru-baru ini.

Mengetuai delegasi negara di sana ialah Haji Abdul Ghani bin Dato Paduka Haji Mohd Ali, disertai oleh Haji Rosmin bin Haji Mohd Hassan selaku Pengurus Pasukan dan Somsak Juychunprasert iaitu Jurulatih Kebangsaan Sukan Petanque Brunei Darussalam.

Barisan atlet negara yang menyertai kejohanan itu ialah Surtini binti Haji Abidin, Mulsinah binti Haji Amran, Siti Badariah binti Tahir dan Rahaini binti Haji Nurzainah.

Ketika ditemui di majlis penyampaian hadiah Liga Petanque Brunei Darussalam 2016 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas baru-baru ini, Setiausaha Agung Persekutuan Petanque Brunei Darussalam, Haji Rosmin berpeluang mengulas mengenai penyertaan negara di sana.

Menurutnya skuad wanita kebangsaan adalah skuad yang baru dan kurang menyertai kejohanan antarabangsa kecuali penyertaan di rantau Borneo sahaja, namun tahun ini buat julung kalinya mendapat peluang pendedahan di peringkat Asia di Myanmar baru-baru ini.

Barisan kontinjen petanque negara di Myanmar baru-baru ini.
Barisan kontinjen petanque negara di Myanmar baru-baru ini.
Haji Rosmin ketika ditemui Media Permata.
Haji Rosmin ketika ditemui Media Permata.

Brunei menurutnya ditempatkan bersama pasukan Jepun, Thailand 2, Laos, Myanmar 2 dan pasukan Chinese Taipei dengan catatan satu kemenangan ke atas pasukan Jepun dan tewas dalam perlawanan yang lain.

“Meskipun tewas, pada saya mereka berjaya melalui kejohanan itu dan menimba pengalaman yang boleh menjadi garis pandu serta sukat-sukat kepada pencapaian dan kebolehan mereka di peringkat antarabangsa,” katanya.

“Para pemain perlu mengambil iktibar daripada penyertaan ini dan berusaha meningkatkan pencapaian serta terus komited berlatih bagi menajamkan lagi skuad negara dalam sukan petanque ini.”

Menurutnya, kita mempunyai ramai pemain yang berpotensi namun kebanyakan mereka terikat dengan waktu bertugas di sektor kerajaan dan swasta yang menjadi cabaran utama ekoran masa latihan yang terhad dan latihan hanya boleh dibuat selepas waktu bekerja di waktu malam.

“Persekutuan akan terus komited bersama pihak jabatan ko-kurikulum untuk mendapatkan bakat baru daripada peringkat sekolah lagi sebagai pelapis negara di dalam banyak lagi kejohanan akan datang,” ujarnya lagi.

Beliau juga menambah bahawa latihan akan dibuat berterusan bagi penyertaan tahun ini, antaranya di peringkat Pan-Pasifik dan Asia di bawah bimbingan jurulatih yang berpengalaman untuk mempersiapkan kedua-dua skuad lelaki dan perempuan negara.

Ketika ditemui, jurulatih Somsak Juychunprasert menyatakan skuad Brunei menunjukkan pencapaian yang baik di kejohanan itu, dan dengan adanya Liga Petanque Brunei baru-baru ini akan membuka peluang untuk melahirkan pemain baru yang mampu memikul tugasan untuk negara dalam sukan petanque.

“Setakat ini saya sudah menyenaraikan empat pemain untuk skuad kebangsaan bagi penyertaan di Sukan Asia Tenggara pada bulan Ogos nanti dan semua mereka adalah barisan pemain Liga Petanque Brunei 2016. Mereka akan terlibat dengan latihan intensif bagi meningkatkan lagi pencapaian mereka,” ujarnya.

“Brunei mempunyai potensi untuk bersaing. Apa yang perlu adalah para pemain untuk terus giat berlatih dan mempelajari kelemahan diri sendiri di dalam dan di luar perlawanan. Serta menjadikan dua acara besar tahun ini menjadi sasaran.”