Skuad Projek Khas uji kemampuan hoki lelaki

KUALA LUMPUR, 20 SEPT – Skuad Projek Khas Lelaki Malaysia bakal menguji kemampuan mereka dalam Siri Jelajah United Kingdom bermula 26 September hingga 16 Oktober sebagai persiapan menjelang Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja pada November depan.

Pengerusi bagi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata keputusan itu hasil daripada jalinan kerjasama yang baik dan erat antara KHM dan Great Britain Hockey.

Beliau berkata 21 pemain akan menyertai skuad bimbingan Wallace Tan mengharungi siri jelajah itu dan mereka dijadual berlepas ke United Kingdom pada 26 September ini.

“Skuad bimbingan Wallace Tan mempunyai misi untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja yang dijadual berlangsung hujung tahun ini di India dan siri jelajah ini amat penting untuk digunakan oleh mereka dengan sebaiknya.

“Setelah sekian lama tiada perlawanan kompetitif untuk mereka, jadi 21 pemain yang menyertai siri jelajah ini termasuk dua penjaga gol, tujuh pemain pertahanan, enam pemain tengah dan enam penyerang perlu manfaatkan semua perlawanan persahabatan yang telah diatur,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama