HANOI, 13 MEI – Skuad sepak takraw lelaki Malaysia gagal menyaingi kehebatan musuh tradisi, Thailand setelah tumpas 0-3 dalam aksi sulung acara berpasukan pada Sukan SEA ke-31 di Pusat Sukan Hoang Mai di sini kelmarin.
Dibarisi lebih 80 peratus pemain muda, skuad kendalian Abdul Talib Ahmad itu tewas mudah kepada Thailand apabila ketiga-tiga regu Malaysia tumpas dengan straight set dalam saingan mengguna pakai format liga sepusingan.
Abdul Talib berkata biarpun tumpas regu pertama dan kedua Malaysia menunjukkan semangat tinggi untuk memberi tentangan kepada Thailand.
“Fokus kita sekarang meraih pingat perak. Saya berharap pemain dapat mempamerkan prestasi terbaik menentang Kemboja dan seterusnya berdepan Vietnam dalam aksi penting bagi meraih pingat perak,” katanya.
Sementara itu, skuad wanita Malaysia menumpaskan Laos 2-1 dalam aksi pembukaan acara regu berpasukan kelmarin. – Bernama