Skuad tabuan kempunan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kempunan untuk mara ke pusingan seterusnya apabila tewas 3-2 menerusi agregat, meskipun berjaya menewaskan Pasukan Mongolia dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan timbal balik persaingan Peringkat Kelayakan Pusingan 1, Piala Dunia FIFA 2022 Qatar dan Piala Asia AFC 2023 malam tadi.

Berangkat bagi menyaksikan perlawanan yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berserta Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah;  Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah.

Berangkat sama ialah anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah.

Skuad negara mempamerkan ketajaman di separuh masa pertama apabila mendahului perlawanan dengan jaringan 2-0 menerusi dua gol yang dihasilkan oleh Muhammad Razimie Ramlli seawal minit ke-4 dan 34 perlawanan.

Manakala gol tunggal Mongolia dihasilkan melalui sepakan penalti yang dihadiahkan kepada mereka di awal separuh masa kedua.

Sepakan penalti berjaya disudahkan oleh ketua pasukan Mongolia, Tsedenbal Norjmoo.

Meskipun beberapa serangan dilakukan pada separuh masa kedua perlawanan namun pasukan kendalian Robbie Servais gagal menambah jaringan.

Seramai 17,210 orang penyokong hadir bagi memeriahkan perlawanan yang berlangsung malam tadi.

ATAS & BAWAH: DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, berserta YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ketika berkenan menyaksikan perlawanan. Berangkat sama ialah anakanda-anakanda DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah. – Infofoto