Skuad utama AC Milan bebas virus

ROM, 10 MEI – AC Milan mendedahkan semalam bahawa tidak ada seorang pun pemain skuad utama mahupun staf diuji positif COVID-19, sehari selepas presiden kelab mengakui bahawa sesetengah pemain dalam proses pemulihan virus berkenaan.

Dalam satu kenyataan, juara Eropah tujuh kali itu berkata, berdasarkan ujian perubatan yang dijalankan setakat ini kepada skuad utama dan staf, tidak ada seorang pun positif.

Milan berkata, pasukan mereka akan meneruskan program latihan individu yang sudah mereka lakukan bersama kelab Serie A lain minggu ini dengan harapan mereka mampu melengkapkan saingan 2019/20.

“Saringan perubatan akan dikenakan kepada semua pemain dan staf yang melapor diri untuk program latihan dalam tempoh beberapa hari selepas ini,” jelas kenyataan berkenaan.

Kelmarin, Presiden Milan, Paolo Scaroni memberitahu media tempatan ada pemain kelab berkenaan dalam proses pemulihan COVID-19, yang sudah mengorbankan 30,000 orang di Itali. Komennya hadir selepas Fiorentina, Sampdoria dan Torino mengesahkan lapan diuji positif.

Khamis lalu, Menteri Sukan Itali, Vincenzo Spadafora berharap latihan berkumpulan mampu bermula pada 18 Mei namun semalam beliau berkata kes positif itu memberikan satu petanda kurang enak.

Napoli mengumumkan semalam pemain mereka mampu meneruskan latihan individu di fasiliti kelab hari ini berikutan baru saja melengkapkan ujian perubatan. Akhbar harian sukan, Corriere Dello Sport melaporkan tidak ada seorang pun pemain Napoli positif COVID-19. – AFP

Gambar fail menunjukkan Scaroni ketika bercakap pada satu majlis di Caracas. Paolo Scaroni memberitahu media tempatan tidak ada seorang pun pemain skuad utama mahupun staf diuji positif COVID-19, sehari selepas presiden kelab mengakui bahawa sesetengah pemain dalam proses pemulihan virus berkenaan. – AFP