Skuad wusyu Malaysia rancang sertai kejohanan jemputan Macau

KUALA LUMPUR, 12 OGOS – Persekutuan Wusyu Malaysia (WFM) merancang untuk menghantar skuad Wusyu kebangsaan Malaysia menyertai kejohanan jemputan di Macau pada awal November, sebagai sebahagian daripada persiapan untuk beberapa kejohanan tahun depan, termasuk Sukan SEA ke-31 di Vietnam.

Presidennya, Datuk Chong Kim Fatt berkata selain Malaysia dan Macau, tiga lagi negara dijangka menyertai kejohanan itu iaitu Singapura, Hong Kong dan Indonesia.

“Kejohanan ini adalah sebahagian daripada persiapan kami sebelum menyertai Sukan SEA ke-31 memandangkan tiada kejohanan diadakan tahun ini berikutan pandemik COVID-19.

“Kami akan menghantar seluruh skuad untuk latihan selama seminggu bersama pasukan Hong Kong di Macau sebelum atlet menyertai kejohanan itu. Bagi eksponen muda, ia akan menjadi platform terbaik untuk mereka mendapat pengalaman berharga sebelum menyertai Sukan SEA 2021 di Vietnam,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. Chong bagaimanapun, mendedahkan penyertaan mereka di Macau masih menunggu kelulusan daripada Majlis Sukan Negara yang terus memantau situasi COVID-19.

Skuad Wusyu negara Malaysia akan bergantung kepada sebilangan besar pemain muda untuk beberapa kejohanan pada tahun-tahun akan datang berikutan pengunduran atlet senior seperti Loh Choon How yang mengalami kecederaan berulang kali dan Phoon Eyin yang ingin memberi tumpuan kepada pelajarannya. – Bernama