Oleh Fadhil Yunus
BANGKOK, 4 OKT – Pemain skuasy Negara Brunei Darussalam, Lim Kok Sheng, mempamerkan aksi cemerlang pada saingan suku akhir kejohanan skuasy Terbuka Thailand ke-3 namun terpaksa menarik diri akibat kecederaan ketika menentang Dheny Chalvin dari Indonesia.
Lim mengalami masalah pada buku lalinya namun berjaya bertahan dan meng-heret lawannya hingga ke set penentuan.
Dheny memenangi set pertama dengan keputusan 11-8 sebelum Lim bangkit di set kedua dengan keputusan yang sama. Namun set ketiga menyaksikan Dheny menang bergaya apabila meraih kemenangan mudah 11-2.
Lim mengejutkan orang ramai termasuk jurulatihnya sendiri selepas bangkit daripada defisit 4-0 pada set keempat dan memberikan banyak masalah kepada lawannya.
Jurulatihnya, Pengiran Hasnan bin Pengiran Anak Haji Rozanan memberikan pujiannya dan melabelkan aksi hebat Lim pada set keempat sebagai yang terbaik pernah dipamerkannya.
Pengiran Hasnan berkata Lim beraksi cemerlang pada set akhir tersebut sebelum merasakan kesakitan pada buku lalinya.
“Dia tidak menyedarinya bila dia tersilap langkah. Dia mula kehilangan momentum pada set ketiga. Dan pada set keempat, saya tidak menjangka dia memaksa dirinya untuk terus bermain,” tambah Pengiran Hasnan.
“Pada set penentu, ia agak sukar baginya untuk bergerak dan kakinya sudah mula sukar digerakkan. Akhirnya dia memutuskan untuk menghentikan perlawanan dan menarik diri.”
Sementara itu pemain pilihan utama dari Jepun, Tomotaka Endo, menempah tempat ke separuh akhir acara lelaki selepas menewaskan pemain pilihan kelima dari Malaysia, Mohd Farez Izwan dengan keputusan 11-5 13-11 6-11 11-6.
Dia akan bertemu dengan pemain pilihan ketiga dari Filipina, Robert Andrew Garcia bagi merebut slot ke final. Manakala seorang lagi pemain dari Jepun, Naoki Hayashi akan bermain menentang pemain pilihan keenam dari Malaysia, Elvinn Keo bagi saingan separuh akhir.


































