KUALA LUMPUR, 20 Feb – Pertumbuhan pesat pasaran pesawat turboprop ATR di Asia Pasifik telah mendorong Skyways Technics, pakar penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang berpangkalan di Denmark, untuk meningkatkan kemudahannya di Malaysia.
Pengurus Serantau (Asia) Lucas Ansinelli berkata Malaysia menawarkan persekitaran yang baik kepada Skyways Technics untuk meningkatkan lagi aktiviti MRO komponennya di Asia Pasifik.
“Subang menjadi pilihan kami sejak kami bermula di sini pada 2014, dan ia kekal menjadi lokasi strategik yang akan terus menarik le h banyak syarikat MRO,” katanya kepada Bernama.
Subang merupakan lokasi pertama syarikat di luar Denmark, memenuhi pasaran Asia Pasifik khusus bagi alat ganti, pembaikan komponen dan perkhidmatan pengendalian darat bagi pesawat ATR dan CRJ.
Pada Pertunjukan Udara Singapura baru-baru ini, Skyways Technics menandatangani perjanjian kerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk meningkatkan kemudahannya di Subang.
Kemudahan baharu itu, terletak di Pusat MRO di Subang Aerotech Park, akan siap bulan depan dan menjadi ibu pejabat serantaunya.
“Kami memilih Malaysia kerana ia menjimatkan dari segi kos. Ia terletak secara strategik, dan semua kemudahan di lapangan terbang Subang sesuai untuk PKS (perusahaan kecil dan sederhana).
“(Secara perbandingan) Singapura mempunyai kos yang tinggi, dan tiada ATR yang melakukan penerbangan keluar dari Singapura. Subang adalah pangkalan bagi Firefly, Malindo dan MASwings (yang mengendalikan pesawat ATR). Kami menumpukan kepada pesawat serantau dan menyokong seluruh rantau Asia Pasifik,” kata Ansinelli. – Bernama