Slot tempahan pengambilan paket di MPC ditambah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Jabatan Perkhidmatan Pos (JPP) telah meneliti semula slot-slot tempahan bagi pengambilan paket kecil dan bungkusan di Pusat Memproses Mel dan Bungkusan (MPC). 

Dengan mengambil kira masa memproses bungkusan dan mengawal perkumpulan orang ramai, sebanyak 12 slot sehari telah ditambah menjadikan keseluruhan sebanyak 66 slot sehari daripada 54 slot sebelum ini. 

Slot baharu berkenaan akan dibukakan bermula hari ini (7 Oktober), kongsi Pemangku Ketua Pos Agung, Haji Aminuddin bin Haji Mohd Taib semasa sidang media yang berlangsung di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai adalah disarankan untuk memeriksa slot-slot berkenaan dari semasa ke semasa melalui aplikasi QueUp. 

“Pembukaan slot ini akan dinilai dari masa ke semasa mengikut perkembangan pemantauan COVID-19,” tambah Haji Aminuddin.

Pemangku Ketua Pos Agung semasa sidang media di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, semalam.

Terdahulu beliau berkata, orang ramai yang telah menerima notifikasi bagi pengambilan barangan paket kecil dan bungkusan melalui aplikasi BruTrack dan WhatsApp, disarankan untuk memuat turun applikasi QueUp untuk menempah slot-slot bagi pengambilan paket kecil dan bungkusan cop merah, khusus bagi pengambilan paket kecil dan bungkusan cop merah di MPC sahaja.

Beliau turut memaklumkan bahawa buat masa ini, waktu perkhidmatan pengambilan paket kecil dan bungkusan di cawangan-cawangan pejabat pos adalah dari pukul 8 pagi hingga 1 petang bagi memberikan masa menguruskan hal ehwal logistik dan pembersihan.

Pada sidang media itu, Haji Aminuddin mengongsikan bahawa pada September sahaja, JPP telah menerima sebanyak 42,407 bungkusan dan paket kecil. 

Daripada jumlah itu, sebanyak 63 peratus iaitu 26,914 adalah bungkusan dan paket kecil yang dikategorikan cop hijau yang telah berjaya dihantar ke rumah pelanggan. 

Manakala, sebanyak 15,493 paket kecil dan bungkusan atau 37 peratus adalah dikategorikan cop merah yang memerlukan pengesahan agensi-agensi berkenaan.

Sehingga kini, dari Januari-September 2021, Pusat Perkhidmatan Pelanggan telah mengendalikan sebanyak 14,151 aduan dan pertanyaan.

Mengulas mengenai pengesanan keberadaan bungkusan, beliau mengongsikan bahawa terdapat beberapa saluran bagi para pelanggan untuk menyemak keberadaan paket kecil dan bungkusan mereka.

Ini termasuk aplikasi BruTrack, Tracking Item dan AR Listing dalam laman web JPP (www.post.gov.bn) dan notifikasi melalui Applikasi Whatsapp jika bungkusan tersebut sedia untuk diambil.

Orang ramai juga disarankan untuk menggunakan aplikasi BruTrack bagi bungkusan Trackable Item dan mempunyai Tracking No untuk mengetahui status info keberadaan bungkusan tersebut. 

Bagi bungkusan yang tidak mempunyai Tracking No (Paket Kecil), pelanggan bolehlah merujuk kepada AR Listing.

Selain aplikasi BruTrack, JPP telah menggunakan aplikasi WhatsApp bagi memaklumkan kepada pelanggan bahawa bungkusan dicop merah telah sedia untuk diambil di cawangan-cawangan pejabat pos seperti tertera pada mesej berkenaan. 

Bagi pelanggan yang belum lagi dihubungi melalui WhatsApp, mereka disarankan untuk menyemak melalui AR Listing. Ini disebabkan sebilangan paket kecil dan bungkusan tidak merekodkan butiran nombor telefon untuk membolehkan jabatan ini menghubungi pelanggan.

JPP turut menyarankan agar para pelanggan memberikan butiran yang lengkap mereka semasa membuat pembelian atas-talian termasuk alamat, nombor telefon dan email bagi membolehkan jabatan ini menghubungi dan memberikan notifikasi paket kecil dan bungkusan yang telah sedia untuk diambil.

Sementara itu, menyentuh mengenai isu penghantaran barangan bertanda merah (cukai/permit/tegahan), Haji Aminuddin menjelaskan bahawa dalam mematuhi SOP dan saranan nasihat Kementerian Kesihatan, jabatan berkenaan turut mengendalikan dan meneliti paket-paket kecil dan bungkusan cop merah bersama agensi-agensi lain yang
berkenaan. 

“Dengan kerjasama tersebut, JPP akan turut membuat perbincangan dengan agensi-agensi tersebut bagi sama-sama mencari jalan terbaik menambah baik proses penelitian untuk membolehkan jabatan ini membuat perkhidmatan door-to-door seperti kehendak pelanggan,” tambah beliau.