Slovakia pertaruh Dubravka

SEVILLE, 22 JUN – Slovakia akan bergantung harap sepenuhnya kepada satu-satunya penjaga gol nombor satu mereka yang beraksi di Liga Perdana Inggeris bersama kelab Newcastle United, Martin Dubravka bagi menyekat corak serangan Sepanyol, Khamis ini.

Slovakia tentunya bukan pasukan pilihan dalam pertemuan dengan Sepanyol, namun setakat ini pasukan itu sudah menewaskan Poland 2-1 dan tewas 0-1 di tangan Sweden dalam aksi Kumpulan E, dengan Dubravka berjaya menyekat beberapa percubaan berbahaya dalam kedua-dua perlawanan itu.

“Kami tidak akan mengalah. Kami dapat mempelajari sesuatu daripada dua perlawanan itu. Kami akan berjuang sehingga detik akhir,” kata Dubravka.

Di Seville nanti, Sepanyol perlu menang untuk mara ke pusingan 16 terbaik, manakala Slovakia boleh berpuas hati dengan hanya keputusan seri tanpa jaringan. Setakat ini, pasukan Sepanyol dikendali Luis Enrique hanya meledak satu gol ketika menewaskan Poland menerusi Alvaro Morata selepas diikat tanpa jaringan oleh Sweden.

Pemain tonggak bahagian serangan, termasuk Gerard Moreno, Morata, Ferran Torres dan Dani Olmo tampak bergelut dalam kejohanan setakat ini.

“Kita boleh lihat Sweden meraih keputusan seri dengan Sepanyol. Setiap perlawanan berbeza, tetapi kami tentunya mahu berjuang untuk meraih keputusan yang sebaik mungkin,” kata Dubravka. Penjaga gol berusia 32 tahun itu menyertai Newcastle dari Sparta Prague pada 2018, ketika kelab dikendali Rafael Benitez dan menjadi individu penting dalam The Magpies. Dubravka yang tidak pernah terlepas aksi dalam setiap perlawanan liga musim 2018/19 dan 2019/20, mengikat kontrak enam tahun di St James’ Park pada 2019.

Namun, tugasnya selaku penjaga gawang terpaksa diserahkan kepada penjaga gol nombor dua, Karl Darlow pada musim panas lalu kerana mengalami kecederaan buku lali dan perlu berehat selama enam bulan.

“Saya agak bertuah kerana saya tidak pernah mengalami kecederaan yang boleh mengenepikan saya untuk tempoh yang lama,” kata Dubravka. – AFP

Aksi Dubravka yang gagal menyelamatkan tendangan penalti daripada pemain Sweden Emil Forsberg semasa perlawanan mereka di Stadium Saint Petersburg, Rusia pada 18 Jun. – AP