MOCNA, Slovenia – Salah seorang warga Slovenia telah menulis manual pemeliharaan lebah moden pertama di dunia.
Dan Slovenia telah mengetuai usaha untuk meningkatkan kesedaran terhadap nasib lebah, kerana kebimbangan mengenai kesihatan populasi lebah di dunia semakin meningkat pada tahun-tahun kebelakangan ini.
Memelihara lebah adalah suatu tradisi kebangsaan yang amat dihargai di Slovenia, dengan sarang lebah berwarna-warni pasti ditemui di seluruh ladang-ladang di sana. Ada yang berada di tepi hutan, taman dan juga atas bumbung bangunan.
Lebah dapat dilihat pada pintu masuk bank-bank dan juga muzium sebagai simbol kerajinan.
Dan kini, pada keluaran duit syiling dua euro yang dikeluarkan oleh bank pusat negara itu bersempena dengan Hari Lebah Sedunia baru-baru ini, sebuah inisiatif yang dilancarkan oleh Slovenia dan disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.


“Apabila anda mula memelihara lebah, ia akan menjadi satu ketagihan,” kata Bostjan Noc, ketua Persatuan Pemelihara lebah Slovenia memberitahu AFP, sambil menambah bahawa keluarganya mempunyai beberapa generasi dalam ahli apiari.
“Kami mempunyai gen memelihara lebah dalam diri kami,” kata Noc.
Sekitar 10,000 orang dianggarkan mempunyai sarang lebah mereka sendiri di Slovenia, sebuah negara yang hanya mempunyai lebih daripada dua juta penduduk.
Itu adalah 10 kali lebih banyak pemeliharaan lebah perseorangan berbanding di Sepanyol, pengeluar madu terbesar di Eropah.
Cinta masyarakat Alp terhadap lebah itu telah bermula sejak abad ke-18 lagi apabila Slovene Anton Jansa (1734-1773) telah menulis manual pemeliharaan lebah moden yang pertama.
Pada masa itu, kebanyakan kawasan Slovenia moden yang membentuk wilayah Habsburg, Carniola dan Maharani Maria Theresa telah melantik Jansa sebagai salah seorang guru pertama di sekolah memelihara lebah di ibu kota kerajaan, Vienna.
“Anton Jansa telah meletakkan dasar-dasar (pembiakan lebah) yang masih digunakan sehingga hari ini, walaupun terdapatnya kemajuan teknologi,” kata Noc, dengan memuji Jansa ‘sebagai petani yang mempunyai kelogikan yang jelas’ dan telah ‘berdiri’ sejajar dengan peredaran masa.
Dan sesungguhnya, 20 Mei telah dipilih sebagai Hari Lebah Sedunia, juga bersempena hari ulang tahun Jansa.
Jansa juga seorang pelukis dan telah menyumbang kepada aspek warisan lebah Slovenia, hiasan panel sarang lebah dengan karya seni rakyat yang berwarna-warni telah menggambarkan pelbagai tema yang disampaikan seperti keugamaan dan kehidupan seharian.
Noc menunjukkan bahawa lebah madu kedua yang sering dijumpai di dunia iaitu lebah madu Carniolan, telah mengambil namanya daripada rantau itu.
“Lebah Carniolan sangat mirip kepada warga Slovenia terdahulu: bersikap sederhana dan berlemah-lembut,” kata penjaga lebah berusia 69 tahun, Karl Vogrincic, kepada AFP di tamannya, di perkampungan Mocna, timur laut Slovenia.


Vogrincic mempunyai lebih daripada 40 tahun pengalaman dalam pemeliharaan lebah dan mengatakan bahawa ia adalah “suatu perkara yang amat disukai dan dicintai berbanding apa yang ada di dunia ini.”
“Memelihara lebah bermaksud mendalami lagi ilmu pengetahuan yang disampaikan oleh nenek moyang kita dengan apa yang mereka sudah ketahui, namun kita lupa dalam apa yang dipanggil sebagai kehidupan moden,” katanya, sambil membuka pintu salah satu sarang lebah tanpa menggunakan alat perlindungan.
Minat Vogrincic tidak banyak tertumpu kepada jumlah madu yang dihasilkan, namun dalam kemungkinan ‘apitherapy’, iaitu penggunaan lebah dan juga produk lebah dari segi perubatan alternatif.
Serta peluang untuk menikmati urutan madu, para pengunjung telah dijemput untuk memasuki kabin kayu kecil bagi merasai getaran lebah, yang bermanfaat untuk keadaan kesihatan paru-paru.
Memasuki bahagian dalam kabin tersebut, seseorang akan merasai gelombang besar kepadatan, bunyi dengungan lebah yang sangat kuat hasil daripada 20 sarang yang terdapat di salah satu dinding kabin tersebut.
Kerusi berlengan diletakkan di bahagian sudut yang tenang atau anda juga boleh tidur seketika di atas katil sarang tersebut.
Tetapi walaupun dengan adanya pelbagai cara untuk merayakan warisan lebah madu ini, Slovenia tidak menyembunyikan trend yang telah menyebabkan PBB untuk memberi amaran bahawa 40 peratus invertebrat pendebunga, khususnya lebah dan kupu-kupu, yang berada dalam risiko kepupusan global.
Lebah membantu mendebungakan 90 peratus daripada tanaman utama di dunia, tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ianya telah banyak mati akibat daripada ‘gangguan keruntuhan koloni’, sejenis serangan misteri yang dipersalahkan pada racun perosak.
Lebah juga diancam oleh pencemaran, penyakit dan perubahan iklim yang telah mengurangkan musim bunga dan luruh, tempoh-tempoh di mana lebah-lebah itu sedang aktif.
“Kami perlu mengurangkan penggunaan racun perosak. Jika kita membina jalan raya, kita perlu menggantikan habitat yang sudah musnah,” kata Noc, sambil menambah bahawa dengan adanya Hari Lebah Sedunia menunjukkan bahawa kesedaran mengenai kepentingan lebah itu semakin meningkat.
“Terdapat adanya ruang untuk optimis,” kata Noc. – AFP