‘Slowpitchjigging’ teknik ampuh memikat ikan

Oleh Raz AS

Kaedah ‘slowpitchjigging’ merupakan sesuatu yang baharu dibandingkan dengan kaedah jigging konvensional. Dikembangkan oleh seorang pemancing laut dalam dari Jepun, Norihiro Sato, beliau mencari cara untuk memikat ikan semasa ikan-ikan tidak galak memakan umpan, dan hari ini ‘slowpitchjigging’ dianggap sebagai salah satu kaedah paling ampuh untuk memikat ikan.

‘Jigging’ selalunya dikaitkan dengan penggunaan jig besi tirus, aksi joran yang agresif dan ‘retrieve’ laju untuk meniru ikan kecil melarikan diri daripada pemangsa. Berlainan dengan kaedah ‘slowpitchjigging’, jig yang digunakan mempunyai badan yang lebih lebar dan teknik penggayaannya adalah untuk meniru pergerakan perlahan sotong, kurita, atau anak ikan yang tercedera.

Kaedah ‘jigging’ yang menggunakan retrieve yang laju atau fast jig adalah efektif untuk memburu ikan-ikan sambaran seperti tenggiri, alu-alu, wahoo, dan lain-lain. Manakala pergerakan perlahan slow jig lebih menggoda kepada ikan-ikan yang menghuni terumbu karang atau takat seperti kerapu dan ikan merah untuk menyambarnya.

Boleh dikatakan ‘slowpitchjigging’ menghasilkan ikan yang lebih berkualiti daripada menggunakan fast jig. Ini kerana pergerakan jig yang perlahan mimik ikan yang tercedera merupakan snek yang senang buat ikan-ikan seperti kerapu yang malas untuk mengejar mangsanya.

Untuk kaedah ‘slowpitchjigging’, memerlukan batang joran yang direka khas untuk kaedah ini. Batang jorannya lebih halus dan mempunyai lenturan parabolik daripada pemegang hinggalah ke hujungnya bagi mengimbangkan bebanan dan menambah kekuatannya.

Meskipun terdapat reel yang direka khas untuk kaedah ini, namun disebabkan tekniknya tidak memerlukan retrieve yang laju dan spesies sasarannya tidak seganas ikan sambaran, menggunakan reel pelbagai guna atau multi-purpose sudah memadai.

Teknik untuk menggayakan slow jig lebih senang dan tidak memerlukan banyak tenaga. Lontarkan jig jauh daripada bot, biarkan ia mencecah dasar dan mula dengan mengangkat joran dengan perlahan dan gulung tali perlahan-lahan. Kelajuan gulungan tidak jauh berbeza dengan menggayakan umpan ‘softplastic’. Ulang langkah sehingga jig sampai kira-kira 10m di bawah bot.

Pergerakan perlahan slow jig lebih menggoda kepada ikan-ikan yang menghuni terumbu karang atau takat.
Jig yang digunakan mempunyai badan yang lebih lebar dan teknik penggayaannya adalah untuk meniru pergerakan perlahan sotong, kurita, atau anak ikan yang tercedera.