SM Chung Ching rai 105 pelajar tahun 6, 11

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 26 NOV – Sebagai sebahagian daripada tradisi tahunannya, Sekolah Menengah Chung Ching telah mengadakan majlis tamat pengajian bagi pelajar-pelajar Tahun 6 dan 11 yang berlangsung di dewan serba guna utama sekolah berkenaan, hari ini.

Hadir menyaksikan majlis meraikan seramai 64 orang pelajar Tahun 6 dan 41 pelajar Tahun 11 itu ialah Pengerusi Eksekutif Lembaga Pengarah, Sekolah Menengah Chung Ching, Chai Youk Fatt dan Pengerusi, Chin Kim Min.

Turut hadir ialah beberapa orang ahli lembaga pengarah, guru-guru dan kakitangan sekolah serta ibu bapa dan penjaga pelajar.

Majlis menyaksikan penyampaian anugerah akademik dan pencapaian termasuk Anugerah Kecemerlangan Akademik di samping anugerah-anugerah bagi pengawas, pembantu perpustakaan dan pembaca terbaik.

Anugerah-anugerah berkenaan disampaikan oleh Chai Youk Fatt, Chin Kim Min dan ahli-ahli lembaga pengarah lain. Majlis kemudian disusuli dengan penyampaian sijil tamat pengajian kepada para pelajar yang disempurnakan oleh ahli-ahli lembaga pengarah.

Majlis penyampaian sijil turut diselang-selikan dengan tayangan video ringkas bagi setiap kelas. Sebagai tradisi bagi graduan, para pelajar berkenaan menyampaikan hadiah yang mereka sumbangkan kepada sekolah untuk membantu menggalakkan junior-junior mereka mencapai keputusan akademik terbaik, yang diterima oleh pengetua sekolah berkenaan.

Para graduan juga menyanyikan lagu tamat pengajian yang penuh emosi terutamanya bagi pelajar Tahun 11 yang akan menjadi alumni sekolah berkenaan apabila mereka melanjutkan lagi pengajian mereka.

Salah seorang pelajar menerima anugerah yang disampaikan oleh Chai Youk Fatt dengan diiringi oleh Chin Kim Min.
Antara pelajar yang menamatkan pengajian menunjukkan sijil mereka semasa majlis berkenaan.