SM Chung Hwa, TelBru meterai MoU

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan – Dalam usaha memastikan belia negara dilengkapi dengan pengetahuan teknologi maklumat, Telekom Brunei Berhad (TelBru) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sekolah Menengah (SM) Chung Hwa di ibu negara bagi Program Smart Nation di sekolah tersebut.

Menandatangani bagi pihak TelBru ialah Ketua Pegawai Pemasarannya, Lim Ming Soon manakala bagi pihak SM Chung Hwa ialah Pengetua Sekolah, Kho Guik Lan dalam majlis yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan.

Penandatangan itu menandakan bermulanya hubungan selama tiga tahun bagi Program Smart Nation yang akan mempertingkatkan pengalaman pembelajaran SM Chung Hwa melalui pakar-pakar ICT TelBru.

Lim Ming Soon dan Kho Guik Lan bertukar-tukar dokumen MoU.
Lim Ming Soon dan Kho Guik Lan bertukar-tukar dokumen MoU.

Kho Guik Lan dalam ucapannya melahirkan perasaan gembira kerana pelajar sekolah itu akan berpeluang untuk mendapatkan pendedahan dalam pengaturcaraan (programing) melalui perkembangan Internet of Things dan aplikasi telefon bimbit.

Manakala Lim Ming Soon dalam ucapannya mengatakan, “Kami percaya masa depan negara terletak di tangan belia. Kami berharap program ini menjadi komponen penting dalam pendidikan ICT mereka dan akan menjadi sebahagian daripada penyumbang pembangunan negara di masa akan datang.”

Majlis turut diselajurkan dengan jerayawara Smart Nation bagi sekolah berkenaan.