SM Masin dominasi Kluster 2

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Julai – Sekolah Menengah (SM) Masin ‘menyapu’ bersih kedua-dua gelaran juara, Kategori ‘C’ dan Kategori ‘B’ Kejohanan Bola Sepak Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab-Maktab Kluster 2, 2017 selepas menang tipis 1-0 ke atas lawan masing-masing pada perlawanan akhir.

Skuad SM Masin dalam Kategori C menewaskan SM Awang Semaun, sementara skuad dalam Kategori B pula mengalahkan SM Sayyidina Hasan. Tempat ketiga Kategori C dimenangi SM Sayyidina Husain, manakala bagi Kategori B dimenangi SM Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMJA).

Perlawanan akhir yang berlangsung di padang bola sepak SM Masin itu menyaksikan jaringan kemenangan dalam Kategori C telah dijaringkan oleh jersi nombor lima, Mohammad Irsyad Atif bin Jamaidi.

Rakan sepasukannya, Awangku Muhammad Hazmi bin Pengiran Salleh, yang bermain cemerlang dalam memastikan kemenangan memihak kepada pasukan mereka dalam Kategori C, telah dinobatkan selaku Pemain Terbaik.

Awang Zaman ketika menyampaikan Piala Pemain Terbaik Kategori C kepada Awangku Muhammad Hazmi dari SM Masin.
Awang Zaman ketika menyampaikan Piala Pemain Terbaik Kategori C kepada Awangku Muhammad Hazmi dari SM Masin.
Barisan pemain SM Masin bergambar ramai bersama Awang Zaman, selepas selesainya acara penyampaian pingat serta piala kepada juara kejohanan Kluster 2.
Barisan pemain SM Masin bergambar ramai bersama Awang Zaman, selepas selesainya acara penyampaian pingat serta piala kepada juara kejohanan Kluster 2.

Hadir ke padang bola sepak SM Masin bagi menyaksikan perlawanan akhir Kategori C itu dan seterusnya menyempurnakan penyampaian pingat dan piala kepada para pemenang kedua-dua kategori ialah Pengarah Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Zaman bin Haji Gapar.

Kejohanan tersebut merupakan aktiviti tahunan Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan.