SM Muda Hashim rai pelajar cemerlang

Oleh Ak Zaki Kasharan

TUTONG, 23 JUN – Sekolah Menengah (SM) Muda Hashim, Tutong baru-baru ini telah mengadakan majlis graduasi dan penyampaian hadiah akademik bagi meraikan pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam perperiksaan BC GCE ‘O’ Level dan IGCSE Level 2020 serta Penilaian Kemajuan Pelajar (SPA) 2020.

Acara tahunan sekolah tersebut dihadiri oleh mantan pengetua SM Muda Hashim, Liew Yong Kim selaku tetamu kehormat majlis. Juga hadir pada majlis tersebut ialah ketua kluster, jemputan-jemputan khas dan ibu bapa dan penjaga pelajar.

Dalam ucapan Pemangku Pengetua SM Muda Hashim, Hajah Adimah binti Haji Said antara lain menyentuh mengenai peningkatan keputusan BC GCE ‘O’ Level 2020 sebanyak 50 orang pelajar yang mendapat keputusan 5 ‘O’ Level berbanding pada tahun 2019 dan seramai 15 orang pelajar menerima hadiah SPA.

Selain daripada itu dua orang pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam mata pelajaran matematik telah dianugerahkan Hadion’s Award yang telah disampaikan oleh Eugene Lim Yu Chen sebagai wakil kepada mantan pengetua, Hadion Lim Beng Guan.

Sementara itu, Principal’s Award merupakan sumbangan peribadi daripada mantan pengetua, Haji Mohamad Saiful Bahrin bin Haji Sabli telah disampaikan kepada tiga orang pelajar yang menunjukkan peningkatan dalam pelajaran, pencapaian cemerlang pelajar aliran sains dan holistik sekolah berkenaan.

Acara adalah satu insentif atau usaha pihak sekolah untuk menyuntik semangat pelajar agar terus mempertingkatkan usaha dalam pencapaian akademik mereka dari semasa ke semasa.

Di samping itu pihak sekolah juga memberikan sijil penghargaan kepada guru-guru khususnya yang mengajar tahun 8, tahun 10 express dan tahun 11 di tahun 2020 sebagai tanda terima kasih pihak sekolah terhadap usaha dan sumbangan guru-guru dalam memberikan tunjuk ajar kepada anak-anak didik mereka.

Salah seorang pelajar yang menerima anugerah pelajar cemerlang pada majlis tersebut. – Gambar serahan SM Muda Hashim