Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja (SM PDSM), baru-baru ini telah meraikan para pelajar cemerlang bagi Peperiksaan BC GCE O Level/IGCSE Pelajar Tahun 11 pada majlis penyampaian anugerah yang berlangsung di sekolah berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah kepada pelajar yang diraikan ialah Ketua Techinical Underwriting Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd, Awang Roslan bin Haji Mohd Tahir.
Pengetua SM PDSM, Haji Malai Shah Eran bin Syed Haji Yussof Al-Idrus dalam ucapannya mengongsikan pencapaian pelajar dalam mencapai lima kredit dan ke atas pada peperiksaan BC GCE O level dan IGCSE tahun lalu iaitu sebanyak 39.7 peratus, peningkatan berban-ding 2021 iaitu 35.23 peratus (melalui SAG).
“Trend yang meningkat ini sudah setentunya mencerminkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di SM PDSM telah meningkat dengan jayanya sejajar dengan sasaran (target achievement) yang dirancang,” ujarnya.
Majlis itu menyaksikan seramai 54 orang pelajar telah menerima hadiah dan sijil.
Awang Mohammad Syafiq Izzuddin bin Haji Suhaimi yang memperolehi keputusan 5A*,
1A, 2B dan 1C telah dipilih menjadi Pelajar Terbaik.
Sementara itu, para guru dari beberapa jabatan akademik di SM PDSM yang telah berjaya meningkatkan prestasi keputusan dalam peperiksaan GCE O Level turut menerima anugerah.