SM RIPAS anjur Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik sesi 2019

BANDAR SERI BEGAWAN – Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (SM RIPAS), Tutong baru-baru ini mengadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik sesi 2019, Brunei Cambridge GCE ‘O’ Level dan IGCSE 2019. Acara ini telah diadakan di dewan serba guna sekolah berkenaan.

Menurut kenyataan yang diterima, tetamu kehormat pada majlis itu ialah Ketua Kluster 4, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Sarifah binti Haji Matsawali.

Majlis dimulakan dengan lagu kebangsaan serta bacaan Surah Al-Fatihah dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

Majlis diteruskan dengan ucapan alu–aluan dari Pengetua SM RIPAS, Hajah Amal Nuriyah binti Haji Ahmad Kumpoh dan diikuti oleh ucapan daripada tetamu kehormat.

Pengetua sekolah semasa ucapan turut menekankan kepentingan dalam mencapai gred yang baik untuk peperiksaan ‘O’ level.

Antara yang hadir pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik SM RIPAS sesi 2019.
Penerima-penerima Anugerah Pelajar Cemerlang.

Beliau juga menyatakan pihak sekolah akan terus berusaha untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan keputusan Peperiksaan GCE ‘0’ Level dan IGCSE.

Sementara itu, tetamu kehormat turut menekankan kepentingan kejayaan tidak yang akan datang tanpa usaha.

Majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah bagi kategori-kategori Peringkat ‘O’ dan IGCSE tahun 2019 seperti Pelajar Terbaik Peringkat ‘O’, Pelajar Terbaik Bagi Setiap Subjek dan Pelajar Progresif.

Majlis tersebut turut mengadakan anugerah kategori kejutan seperti anugerah jabatan-jabatan, anugerah guru-guru dan anugerah pengetua kepada Jabatan Cemerlang.

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada wakil pelajar Tahun 11 sesi 2019 dan tayangan video Ristaan Pelajar Tahun 11 sesi 2019.

Majlis meraikan kecemerlangan akademik sesi 2019 diakhiri dengan bacaan Doa Penutup.