SM SMJA terima lawatan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Seramai 12 orang pelajar tahun 8 dari Sekolah Menengah Edgefield, Singapura telah mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA) bagi Program Pertukaran Sekolah (STP), baru-baru ini.

Ketibaan para rombongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telahpun disambut oleh Timbalan Pengetua Pentadbiran SM SMJA, Ricky Chong Meng Ho; Timbalan Pengetua Akademik, Dayang Norhashimah binti Haji Burut dan guru-guru yang lainnya.

Rombongan Sekolah Menengah Edgefield itu juga turut disertai bersama oleh dua guru sekolah berkenaan iaitu Teo Lily dan Faezah serta Timbalan Pengetua sekolah berkenaan, Tan Chai Hok.

Program STP ini adalah bertujuan untuk menggalakkan amalan bertukar pengalaman pelbagai budaya di samping membolehkan para pelajar untuk lebih memahami bagaimana aspek budaya membentuk negara dari segi pembelajaran, berfikir dan hala tuju masa hadapan.

Ia juga bertujuan untuk memupuk jati diri dalam mempersiapkan para pelajar bagi menghadapi cabaran di masa akan datang.

Guru-guru SM SMJA bergambar ramai bersama guru-guru rombongan daripada Sekolah Menengah Edgefield, Singapura semasa kunjungan mereka ke sekolah berkenaan.

Para rombongan telah berada di negara ini selama lima hari bermula pada 3 Julai yang lalu sehingga 7 Julai yang mana program ini diisikan dengan pelbagai aktiviti menarik bagi Sekolah Menengah Edgefield bersama SM SMJA.

Di sepanjang lawatan tersebut, rombongan dari Sekolah Menengah Edgefield turut berpeluang untuk menyertai beberapa aktiviti yang disediakan oleh pihak SM SMJA seperti acara sesi suai kenal dan pembinaan pasukan.

Rombongan juga berpeluang untuk mengadakan lawatan ke tempat-tempat menarik di negara ini seperti Kampong Ayer dan Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer, Pulau Jong Batu dan banyak lagi.

Para rombongan dari Singapura itu turut mempelajari budaya-budaya Brunei dan diperkenalkan dengan pelbagai makanan Brunei seperti ambuyat dan juga kuih-muih tempatan.

Sementara itu, Tan Chai Hok dalam ucapannya sepanjang lawatan tersebut berharap melalui lawatan ini akan dapat memupuk hubungan baik antara kedua-dua sekolah di samping dapat meningkatkan pengetahuan dan pemahaman Brunei sebagai contoh dalam aspek politik, sejarah, sosiologi dan budaya.

“Kami yakin bahawa pembelajaran ini juga akan membolehkan kami berkongsi dengan rakan-rakan dan pelajar apabila kami kembali ke Singapura.”

Selain itu, pihak SM SMJA juga berhasrat akan membalas lawatan program berkembar dengan Sekolah Menengah Edgefield pada tahun hadapan.