Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Sebanyak 16 buah keluarga yang kurang berkemampuan dari dua buah sekolah iaitu lapan buah keluarga daripada Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali dan lapan buah keluarga daripada Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja Mentiri menerima sumbangan melalui Projek Berkongsi Rezeki: Sedekah Ramadan 1443H/2022M bagi Keluarga-keluarga Kurang Berkemampuan yang berlangsung di Ruang Legar, Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada para penerima ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah YSHHB, Awang Mohamed Fliti. Turut hadir ialah Pengetua Sekolah Menengah YSHHB, Chong Li Chen, guru-guru sekolah serta para penerima sumbangan.
Dalam ucapan alu-aluannya, Chong Li Chen berkata bahawa projek itu diadakan setiap menjelangnya bulan Ramadan di mana ia merupakan projek tahunan anjuran Sekolah Menengah YSHHB yang bertujuan untuk bersedekah bagi menghormati bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Ia juga adalah untuk membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan dan dalam persiapan mereka untuk Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
“Selain itu, program ini sekali gus memberi pendedahan kepada pelajar untuk menyatakan simpati mereka terhadap orang yang kurang bernasib baik terutama dalam keadaan semasa ini dan sentiasa bersyukur dengan nikmat tuhan,” ujarnya.
Majlis menyaksikan Awang Mohamed Fliti menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada para penerima.
Bagi mematuhi peraturan kawalan COVID, acara amal pada tahun ini menyaksikan penyampaian barangan sumbangan terdiri daripada barang makanan asasi secara pandu lalu di mana para penerima memandu kereta ke pagar utama dan barangan sumbangan dimasukkan ke dalam kereta masing-masing.
Projek yang diadakan sejak 2012 itu, merupakan salah satu program pendekatan masyarakat Sekolah Menengah YSHHB.