SMALHB sambut Hari Raya Aidiladha

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Bagi membesarkan hari-hari kebesaran Islam, Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) melalui Unit Rohani dan Surau telah menganjurkan majlis sambutan Hari Raya Aidiladha 1442H, semalam.

Hadir bagi mempengerusikan majlis berkenaan ialah Pemangku Pengetua SMALHB, Pengiran Hajah Radiah binti Pengiran Haji Mohd Tahir.

Antara lain tujuan majlis tersebut adalah untuk memperingati perjuangan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS serta untuk melahirkan generasi Islam yang benar-benar mengenal erti pengorbanan dalam Islam.

Majlis turut diteruskan dengan program keagamaan dengan tema ‘Cintakan Raja Manifestasikan Iman’. Terdahulu, program dimulakan dengan laungan takbir yang diketuai oleh pelajar-pelajar lelaki Pra U1 dan Selawat Tafrijiyyah, Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.

Tazkirah ‘Cintakan Raja Manifestasikan Iman’ telah disampaikan oleh Awang Faizal Lufti bin Abdul Wahid dan Dayang Norzarina binti Haji Osman.

Program diselajurkan dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-75 serta bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Selain itu, majlis penyampaian sijil A Level kepada lima orang pelajar umum Pra U2 turut diadakan.

Tazkirah yang disampaikan oleh Awang Faizal Lufti. – Gambar serahan SMALHB